Siasatan forex: Dr M sedia dipanggil bila-bila masa

0
66



Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia disiasat berhubung kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an.

Pengerusi Parti Pribumi Malaysia (PPBM) itu berkata setakat ini beliau belum dipanggil oleh mana-mana pihak berhubung isu itu.

” Mereka (pasukan petugas khas) boleh menghubungi saya bila-bila masa…saya sentiasa bersedia untuk pergi ke mahkamah atau mana-mana,” katanya kepada pemberita selepas Program Bual Bicara Tun M di Tasek Gelugor malam tadi yang turut dihadiri Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Febuari lepas, Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menjalankan siasatan awal berhubung isu itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berhubung perkara itu berkata tindakan kerajaan itu membuktikan komitmen dan ketelusan kerajaan bagi memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan pemimpin dan anggota PPBM keluar parti sejak kebelakangan ini, Dr Mahathir berkata mereka bebas untuk keluar parti sekiranya merasakan parti itu tidak lagi mempunyai hala tuju dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti.

“Dia nak keluar dia keluar lah…tiada paksaan tapi yang anehnya orang inilah yang pertama marah kepada Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) kononnya…tapi la ni puji, marah kat kita (pula) pasal (kata) kita menjatuhkan ekonomi…,” katanya.

Minggu lepas, Setiausaha PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman, yang juga pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), mengumumkan keluar parti bersama 821 anggota PPBM di seluruh negara.

Kamarul Azman, yang merupakan antara tujuh pengasas PPBM, dilapor berkata mereka membuat keputusan itu kerana PPBM tiada hala tuju untuk membela rakyat dan memartabatkan negara serta tiada agenda lain kecuali menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here