Sidang kemuncak APEC berakhir dengan keyakinan tinggi ke atas ekonomi dunia

0
26

DA NANG (VIETNAM): Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25 (AELM) berakhir dengan para pemimpin menaruh keyakinan tinggi terhadap pemulihan ekonomi dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sentimen itu disokong oleh pembentangan oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, yang menyatakan pemulihan ekonomi dunia adalah lebih baik daripada yang diunjurkan.

“Ini berita gembira kepada APEC. Menerusi pemulihan ekonomi, kita dapat meningkatkan kerjasama, memudahkan perdagangan dan integrasi serantau,” kata Najib kepada media Malaysia di sini pada penghujung sidang kemuncak Pimpinan APEC selama dua hari.

Lagarde berkata ekonomi dunia berkembang 3.2 peratus tahun lepas.

Ekonomi dunia dijangkakan berkembang 3.6 peratus tahun ini dan 3.7 peratus pada 2018.

“Beliau memberikan analogi mengenai pemulihan ekonomi global yang lebih kukuh. Beliau berkata ‘kini matahari sudah menyinar, sudah tiba masanya untuk membaiki bumbung,” kata Najib, sambil menambah bahawa negara wajar memanfaatkan unjuran prospek ekonomi yang mengukuh ini untuk membuat persediaan menghadapi musim hujan, serta bagi mengukuhkan ekonomi.

“Sekiranya negara anda mengalami defisit, kurangkan defisit. Sekiranya anda perlu membuat pembaharuan, buatlah pembaharuan. Sekiranya negara mempunyai hutang yang tinggi, kurangkan hutang, supaya anda mempunyai lebih banyak ruang fiskal jika ekonomi kembali merosot,” katanya.

Najib berkata APEC telah mencapai kejayaan besar dan sejak penubuhannya, ekonomi APEC berusaha keras mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan.

Hasilnya, APEC yang merangkumi kira-kira 40 peratus daripada penduduk dunia, menyumbang kira-kira 60.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dunia, 51 peratus perdagangan global dan 53. 1 peratus daripada Pelaburan Langsung Asing global FDI).

Jumlah dagangan barangan dan perkhidmatan APEC juga meningkat lima kali ganda sejak penubuhannya pada 1989 kepada US$15.9 trilion pada 2016, dan perdagangan barangan antara negara anggota APEC meningkat lebih daripada sembilan kali ganda kepada US$15.5 trilion pada 2014.

Najib berkata pada sidang kemuncak itu, para pemimpin juga menyedari pentingnya ekonomi Internet dan digital sebagai pemacu utama ekonomi global, dan APEC mesti berada di barisan hadapan.

“Malaysia mencadangkan penubuhan kumpulan pemandu sementara mengenai Internet dan ekonomi digital. Mesyuarat itu juga menyedari sumbangan Malaysia dalam bentuk pelan ekonomi digital APEC,” kata Najib sambil menambah bahawa Malaysia juga menyokong cadangan Vietnam untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi mencadangkan visi pasca 2020 untuk APEC.

“Ini sangat menarik, memberi inspirasi dan dapat dicapai kerana Malaysia akan menjadi pengerusi APEC pada 2020, katanya.

Najib berkata beliau juga menyebut mengenai Zon Perdagangan Bebas Digital yang menarik pertanian kalangan pemimpin APEC.

“Saya juga membangkitkan kebimbangan mengenai pembangunan modal insan dan perlunya kurikulum sekolah dirombak bagi memastikan kita dapat menghasilkan pekerja yang sesuai untuk industri 4.0 dan pekerjaan yang belum wujud,” katanya.

Najib berkata para pemimpin juga komited untuk mencapai Matlamat Bogor bagi merealisasikan perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka di rantau ini.

“Kami bersetuju untuk mempercepat usaha udalam menangani halangan yang tidak konsisten WTO ke atas perdagangan dan pelaburan dan mengambil tindakan konkrit untuk menjayakan Matlamat Bogor menjelang 2020.

“Kami juga menyedari pentingnya rangka perdagangan dan pelaburan yang bukan diskriminasi, timbal balik dan saling menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang kini dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Najib berkata kemajuan yang dicapai bermakna wujud komitmen moral antara 11 negara terlibat.

“Selepas ini, akan ada program kerja yang perlu dilaksanakan, dan Malaysia, sudah pasti akan terus mengekalkan kita perlu menangani dasar sosial yang sensitif seperti keutamaan Bumiputera dan langkah-langkah untuk kesihatan awam.

“Kita tidak akan mengorbankan agenda domestik yang penting dalam persetujuan untuk menerima pakai TPP,” kata Najib.

Negara anggota perjanjian perdagangan itu mencapai kesepakatan untuk meneruskan siri rundingan di Da Nang yang menyaksikan kegagalan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau hadir semasa pertemuan pemimpin TPP, yang hampir menggagalkan usaha untuk menghidupkan semula perjanjian itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here