Sidang Kemuncak IMT-GT lulus 40 projek bernilai RM204 bilion

0
61



MANILA: Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura antara 40 projek dengan anggaran kos US$47 bilion (RM204 bilion) yang telah diluluskan pada Sidang Kemuncak Ke-10 Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang berlangsung di Manila, Filipina pada Sabtu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang membentangkan laporan kemajuan IMT-GT berkata perkara terbabit tersenarai di bawah  dokumen perancangan ”IMT-GT Vision 2036” dan ”IMT-GT Implementation Blueprint 2017-2021”.

“Kedua-dua dokumen ini merupakan dokumen kesinambungan kepada IMT-GT Implementation Blueprint bagi tempoh 2012-2016.

“Dokumen perancangan IMT-GT tersebut juga menyenaraikan sebanyak 40 projek kesalinghubungan fizikal dengan anggaran kos sebanyak AS$47 bilion yang akan dilaksanakan oleh ketiga-tiga negara IMT-GT,” kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan.

Laporan itu dibentangkan di sidang kemuncak ke-10 IMT-GT di Manila yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri oleh Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha.

Tambahnya, projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh 2017 hingga 2021.

Ini termasuk Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur – Singapura, Projek Keretapi Pantai Timur, Projek Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Pelabuhan Darat Perlis.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman juga memaklumkan telah menghadiri Sidang Kemuncak Ke-12 Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) sebagai Menteri Bertanggungjawab keatas BIMP-EAGA Malaysia.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dan juga dihadiri Perdana Menteri.

Pada sidang kemuncak ini, para pemimpin negara/kerajaan BIMP-EAGA telah mengambil maklum kemajuan BIMP-EAGA bagi tahun 2016 dan meluluskan dokumen perancangan BIMP-EAGA, iaitu BIMP-EAGA Vision 2025 (BEV 2025).

“Dokumen BEV 2025 ini merupakan dokumen kesinambungan kepada BIMP-EAGA Implementation Blueprint bagi tempoh 2012-2016.

“Dokumen perancangan BEV 2025 ini tersebut telah menyenaraikan sebanyak 57 projek infrastruktur keutamaan dengan anggaran kos bernilai AS$21 billion  yang akan dilaksanakan oleh keempat-empat negara BIMP-EAGA,” katanya.

Antara projek di sebelah Malaysia ialah Projek Lebuhraya Pan-Borneo (Sabah), Projek Lebuhraya Pan-Borneo (Sarawak), Projek Pembesaran Pelabuhan Teluk Sepanggar, Projek Pengorekan Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Tawau dan Projek Pembinaan Lapangan Terbang Mukah.

“Projek-projek ini akan menjadi pemangkin kepada proses integrasi ekonomi antara negeri/provinsi dalam kawasan kerjasama serantau BIMP-EAGA,” tambahnya dalam kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here