Sime Darby seru rangkaian pasar raya UK sertai perbincangan minyak sawit

0
111
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SD Plantation) menyarankan supaya rangkaian pasar raya Iceland Foods Group di United Kingdom menyertai objektif serta pembangunan perbincangan minyak sawit lestari bagi memahami kelebihan yang bakal diraih melalui pembelian minyak sawit jenis itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, SD Plantation melahirkan rasa terkilan selepas pasar raya itu membuat “keputusan yang terpesong” apabila mengharamkan minyak sawit daripada barisan jenama makanan yang dijual di rangkaiannya.

“Kami turut berkongsi keprihatinan Iceland mengenai isu-isu kelestarian yang terkait dengan minyak sawit, tetapi menggantikan minyak sawit dengan minyak sayuran lain hanya akan mengenakan lebih banyak tekanan ke atas pembekalan kerana lebih banyak hutan terpaksa dibuka bagi mengisi permintaan.

“Ini amat berbeza dengan kelapa sawit kerana ia merupakan tanaman yang sangat berkesan dan menghasilkan antara empat sehingga 10 kali lebih banyak minyak daripada seunit tanah berbanding alternatif lain seperti kacang soya, sesawi atau bunga matahari,” katanya.

Menurut SD Plantation, angka penduduk dunia juga sedang berkembang dengan cepat dan ini akan meningkatkan lagi permintaan ke atas minyak-minyak sayuran, pengharaman minyak sawit dilihat sebagai tidak relialistik dan kurang wajar.

Syarikat itu melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Pengarah Urusan Iceland Richard Walker yang berkata: “Kami tidak percaya, wujudnya opsyen seperti minyak sawit lestari yang dijamin dalam pasaran massa.”

Dakwaan Richard ditepis dan SD Plantation menjelaskan, piawaian kemapanan dalam industri minyak sawit sudah wujud lama dalam pasaran dan ini termasuk pensijilan minyak sawit lestari (CSPO).

SD Plantation sendiri menghasilkan sebanyak 20 peratus CSPO dunia.

“SD Plantation juga telah membina asas pelanggan yang kukuh dan lama, majoriti mereka telah meletakkan kepercayaan kepada produk minyak sawit yang dihasilkan secara lestari.

“Semua pelanggan-pelanggan kami yang utama mempunyai akses kepada rangkaian pembekalan kami melalui Papan Pemuka Kebolehkesanan Minyak Sawit kami yang terbuka, ini memberikan mereka jaminan mengenai susur-galur kesemua produk minyak sawit kami yang telah disijilkan,” kata anggota pengasas Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari itu.

Sebagai pengeluar CSPO terbesar di dunia, kelestarian sentiasa menjadi keutamaan dalam perniagaan SD Plantation di mana sahaja ia beroperasi.

“Kami komited ke arah memastikan bahawa syarikat kami sentiasa mematuhi sepenuhnya piawaian tertinggi dan amalan terbaik.

“Ini termasuk komitmen kami untuk berkata tidak ke atas penebangan hutan, tidak kepada kawasan bertanah gambut dan tiada eksploitasi seperti yang digariskan dalam piagam tanggungjawab perladangan kami, yang kemudiannya diperluaskan kepada semua pembekal dalam rantaian bekalan kami,” katanya. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here