'Simpan rahsia' teknik Marvel Studios

0
373
Advertisement



Barisan teraju utama filem Ant-Man and The Wasp iaitu Paul Rudd, Evangeline Lilly dan Michael Douglas akui cara Marvel Studios mempraktikkan teknik ‘simpan rahsia’ kadangkala memberi tekanan kepada pelakon.

Douglas yang kembali memegang watak saintis bernama Hank Pym dilaporkan melalui beberapa ujian menyimpan rahsia.

“Saya ingatkan mereka mahu menjalankan ujian darah atau sebagainya kerana tidak memberitahu sepatah pun mengenainya.

“Walaupun simpan rahsia itu perlu, saya rasa mereka agak memaksa,” katanya.

Pelakon filem veteran ini mengakui usaha menyimpan rahsia adalah perlu kerana proses paling terkawal seperti pilihan raya sekali pun, jika tidak amanah akan menyebabkan ketirisan dan gangguan pihak luar.

Dia memberi contoh apa pihak Rusia sudah lakukan terhadap pilihan raya Amerika Syarikat (AS), berita tidak sahih dan kerana itu menjadi kewajipan mereka menyimpan rahsia.

“Saya rasa Marvel menjalankan tugas yang baik mencipta impak melalui peminat yang tidak tahu apa akan berlaku.

“Saya tidak mahu mengecewakan peminat,” katanya lagi.

Lily yang kembali sebagai Hope Van Dyne dan memakai sut pertama sebagai adiwira dikenali Wasp berkata, pengalaman lalu mengajarnya untuk mengunci mulut.

Antara yang dipelajarinya ketika awal kerjaya sebagai Kate Austen adalah melalui karya JJ Abrams dan Damon Lindelof berjudul Lost.

Katanya, dia mendapat latihan ‘tutup mulut’ dan menyimpan rahsia ketika memulakan kerjaya dalam episod Pilot Lost lagi.

“Saya dilatih produksi untuk mengunci mulut dan ia seperti sebuah persatuan rahsia.

“Kemudian saya terbabit dalam francais Hobbit yang juga sangat berahsia, begitu juga Real Steel dan kini dalam francais Marvel,” katanya.

Dia menyifatkan perkara itu perkara biasa di Hollywood tetapi ada ketikanya sebagai sebahagian daripada produksi, dia memberontak.

Hal hampir sama dikongsi Paul Rudd yang juga The Ant-Man selepas pertama kali muncul sebagai adiwira itu pada 2015.

“Anda pasti tidak mahu merosakkan keadaan, ada orang di luar sana yang diupah untuk cuba membongkarkan rahsia yang disimpan kemas produksi.

“Menjadi keluarga produksi bermakna kita penyimpan rahsia dan kenalah amanah,” katanya.

Pelakon The Ant-Man ini seterusnya perlu kunci mulut mengenai Avengers 4 yang Rudd mengakui hanya tahu sedikit sahaja mengenainya kerana Marvel suka membiarkan semua orang termasuk kru tertanya-tanya.

Dalam pada itu, Presiden Marvel Studios, Kevin Feige berkata, Ant-Man dan The Wasp mempunyai kisah serentak dengan aksi di dalam Infinity War tanpa dikaitkan dengan sebarang situasi yang berlaku.

Katanya, ketika merancang untuk filem itu, mereka mengambil kira semua karya yang muncul sebelum dan selepas, bukan kerana elemen cerita yang berhubung antara satu sama lain tetapi pada perbezaan tona.

Malah perkara yang sering mengingatkan penonton bahawa Marvel Studios dan MCU menghasilkan filem yang berbeza.

“Filem saiz dan tona berbeza dan kami sukakan pengertian pada aksi dalam Infinity War dan Ant-Man and The Wasp, sesuatu yang memecahkan kesunyian peminat sebaik sahaja keluar pawagam dan sekali gus menjadi penawar buat mereka.

“Ia sesuatu yang menggembirakan buat keluarga, penuh emosi serta lawak jenaka,” katanya.

Bercakap mengenai tema transformasi keadilan di dalam Ant-Man and The Wasp, dia berkata pengarahnya, Peyton Reed dan produsernya, Stephen Broussard mahu meneroka musuh bukan tradisi.

Khususnya mengetahui bahawa mereka mahu mengatasi watak Thanos dan Killmonger yang hebat sebagai watak gelap yang mempunyai sebab tersendiri.

“Apabila topeng dibuka, baru kita sedar mereka ada asal usul tersendiri dan hubungan masa silam dengan watak adiwira lain.

“Hal sama tatkala watak antagonis, Ghost yang dilihat mempunyai asas serta dinamik yang agak kompleks,” katanya.

Filem Ant-Man and The Wasp mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok (5 Julai 2018).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here