Simpati nasib Kim Swee

0
18
Advertisement



KUALA TERENGGANU: Bekas orang kuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh berasa pelik melihat kesukaran pengendali pasukan negara, Datuk Ong Kim Swee mendapatkan senarai pemain selepas beberapa pasukan enggan melepaskan pemain untuk ke Sukan Asia di Jakarta-Palembang minggu depan.

Bekas Naib Presiden FAM itu bersimpati dengan Kim Swee yang dianggap umpama seorang ‘peminta sedekah’ untuk dapatkan pemain sedangkan itu tugasan bersama pasukan bola sepak negara bukan negeri.

“Hal ini kerana FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak mempunyai kuasa ‘veto’ dalam perkara itu dan hanya boleh bersuara saja.

“Justeru sudah tiba masanya FAM menggubal undang-undang baharu dengan kadar segera mewajibkan pemain yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan tiada pilihan lain sebaliknya perlu melaporkan diri bersama skuad negara dan jikal gagal berbuat demikian pemain itu perlu digantung dan persatuan di denda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas muak dengan ‘drama’ persiapan pasukan bola sepak negara sesudah jurulatih yang diberi amanah memikul tugasan berkenaan terpaksa ‘meraih simpati’ dengan setiap persatuan negeri dan kelab sebagaimana yang berlaku kepada skuad negara bimbingan Kim Swee dalam menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang, Indonesia yang bermula 14 Ogos hingga 1 September ini.

“Setiap kali saya baca akhbar berkenaan isu ini (pemain tidak dilepaskan persatuan dan kelab) timbul rasa meluat dalam diri mengenangkan bila situasi itu akan reda kerana ini bukan kali pertama berlaku tetapi sudah beberapa kali termasuk saingan Piala AFC Bawah 23 (B-23) di Bangkok tahun lalu.

“Bila FAM boleh diselesaikan perkara ini? Sedangkan kita mahu maju ke depan termasuk menyertai Piala Dunia sebagaimana pasukan yang sebaris dengan kita ketika dulu termasuk Korea Selatan dan Jepun, tapi kini kita terus ke belakang dan ditambah soal dalaman ini pula, sampai bila boleh maju?

“Sebab itu saya sarankan FAM duduk semeja dan gubal undang-undang muktamad yang mewajibkan pemain yang dipilih menyarung jersi skuad kebangsaan perlu menyertai skuad itu dan jika gagal berbuat demikian pemain perlu digantung selama setahun atau enam bulan manakala persatuan didenda.

“Kita mahu mereka (pemain dan persatuan negeri dan kelab) profesional tapi sekarang nampak tidak begitu profesional dan tiada semangat untuk bantu pasukan negara selain sudah ada tanda perasaan hasad dengki.

“Kita nak besarkan liga negeri ke atau pasukan negara? Kita jangan cakap saja sebaliknya perlu fikir dan laksanakan,” kata Che Mat yang menyatakan pemain dulu berebut-rebut untuk menyarung jersi kebangsaan berbanding sekarang.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu FAM memastikan setiap pasukan bola sepak negeri dan kelab melepaskan pemain yang dipanggil mewakili negara untuk tugasan di temasya Sukan Asia 2018 yang akan membuka tirainya bulan depan.

Syed Saddiq berkata FAM sebagai badan induk bola sepak negara, perlu mengambil pendirian yang tegas berhubung perkara tersebut memandangkan isu berkaitan pelepasan pemain sering menjadi igauan ngeri ketua jurulatih kebangsaan dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi sebarang kejohanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here