Sindiket wang palsu di Selangor tumpas

0
55



Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang aktif membuat dan mengedar wang palsu sejak tahun lepas dengan tertangkapnya enam suspek termasuk dalang utamanya dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, ACP Wan Rukman Wan Hassan berkata serbuan berkenaan dilakukan di hotel bajet dan kawasan perumahan di Klang, Shah Alam dan Puchong, antara pukul 2.30 pagi sehingga 12 tengah hari.

Menurutnya, dalam ketiga-tiga serbuan polis telah merampas wang palsu RM100 dan RM20 bernilai RM12,540 serta tiga set kelengkapan yang dipercayai digunakan untuk membuat wang palsu.

“Ketika serbuan, suspek sedang giat membuat wang palsu ini dan sindiket ini juga kerap berpindah antara sebuah hotel bajet ke hotel bajet yang lain untuk mengelakkan daripada dikesan. Dianggarkan sindiket ini mampu membuat wang palsu bernilai RM10,000 sehari.

Modus operandi sindiket ini adalah selepas wang palsu ini siap dibuat, mereka akan mengedarnya dengan menjual kepada agen atau orang tengah yang kemudian akan menggunakan wang ini untuk membeli barangan di pasar malam dan pasar basah sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Shah Alam┬áhari ini.

Kata Wan Rukman, kesemua suspek, empat lelaki dan dua perempuan berusia antara 20 hingga 40 tahun direman sehingga 29 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan dan usaha untuk mengesan orang tengah atau agen sindiket ini sedang giat dijalankan.

Menurutnya lagi, serbuan dilakukan selepas pihaknya membuat risikan kira-kira sebulan susulan beberapa laporan polis yang dibuat oleh pihak bank dan para peniaga pasar malam serta pasar basah di sekitar Lembah Klang berhubung perkara berkenaan.

Wan Rukman turut menasihati peniaga terutamanya di pasar malam dan pasar basah supaya lebih berhati-hati apabila menjalankan urusniaga yang melibatkan wang RM100.

“Wang palsu ini boleh dikatakan berkualiti tinggi, jika dilihat sekali imbas terutamanya pada waktu malam ia kelihatan seperti wang tulen,” katanya.

Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here