Singapura terima babi hidup pertama dari Malaysia

0
20

SINGAPURA: Buat pertama kalinya sejak 18 tahun lepas, Singapura semalam menerima penghantaran pertama babi hidup dari Malaysia, selepas sebuah ladang di Sarawak menjadi satu-satunya sumber yang diluluskan di negara ini untuk mengeksport babi hidup ke Republik ini, lapor Straits Times hari ini.

Tambahan itu menjadikan ia sumber kedua Singapura untuk babi hidup selepas Pulau Bulan di Indonesia, menurut laporan itu.

Laporan itu menambah import semua babi hidup dan daging babi mentah dari Malaysia telah diharamkan sejak 1999, ketika wabak virus Nipah yang dibawa oleh haiwan itu mengorbankan 100 penternak babi di Malaysia dan pekerja rumah penyembelihan di sini.

Memetik Pihak berkuasa Pertanian-Makanan dan Veterinar (AVA), laporan itu berkata apabila tiada laporan mengenai wabak virus Nipah yang baharu di Malaysia, penggantungan itu dikekalkan kerana daging babi mentah dari bahagian lagi di negara itu tidak bebas daripada penyakit kaki dan mulut.

Produk daging babi diproses daripada pertubuhan yang diluluskan di Malaysia pula perlu dirawat haba untuk menyahaktifkan penyakit itu sebelum dibenarkan untuk diimport.

Penyakit itu tidak memberi kesan kepada keselamatan makanan tetapi import haiwan atau daging dari kawasan yang terlibat akan menjejaskan status Singapura yang bebas penyakit kaki dan mulut, serta mungkin memberi kesan kepada perdagangan eksport, kata AVA.

Sarawak diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia sebagai kawasan yang bebas penyakit kaki dan mulut pada 2010 dan AVA kemudian menilai program kesihatan awam haiwan dan veterinar di negara timur Malaysia itu serta meluluskan ia untuk mengeksport daging babi beku ke Singapura pada 2015.

Tahun ini, pertubuhan itu meluluskan sebuah ladang di sana untuk menghantar babi hidup ke Singapura.

“Pembelian daripada pelbagai sumber menyediakan penimbal penting terhadap kemungkinan gangguan bekalan makanan jangka pendek di luar negara daripada mana-mana sumber,” kata AVA.

Terdapat 24 negara pada masa ini yang mendapat akreditasi oleh AVA untuk mengeksport produk daging babi beku ke Singapura termasuk Australia, Austria dan Brazil. Kanada dan Amerika Syarikat adalah antara enam negara yang diakreditasi untuk mengeksport daging babi sejuk ke Singapura.

Singapura mengimport 116,700 tan daging babi tahun lepas yang mana Brazil, Indonesia dan Australia adalah tiga sumber utama.

Sementara itu, import babi hidup dari Indonesia menyumbang sebanyak 20,3000 tan pada tahun sama.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here