Singapura ulangi sokong tindakan Filipina di Marawi

0
43

SINGAPURA: Singapura sekali lagi menegaskan kesediaannya menyokong tindakan Filipina dalam memerangi pengganas di Marawi, kata Kementerian Luar (Mindef) Singapura hari ini.

Penegasan itu dibuat pada pertemuan antara Menteri Luar Singapura Dr Ng Eng Hen dan Setiausaha Pertahanan Negara Filipina Delfin Lorenzana pada Selasa, kata kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Dr Ng melakukan lawatan kerja dua hari ke Filipina bermula 18 Julai untuk menambah pengetahuan tentang keadaan keselamatan di selatan negara itu serta meninjau perkara yang boleh dilakukan Singapura untuk menyokong Filipina dalam usahanya menentang keganasan.

“Walaupun Angkatan Tentera Filipina (AFP) yakin Marawi akan selamat daripada ancaman pengganas tidak lama lagi, usaha bersepadu perlu terus dilakukan bagi memastikan sel pengganas lain pula tidak bertapak di selatan Filipina kerana ia boleh menggugat kestabilan di seluruh ASEAN,” kata kementerian itu.

Katanya kumpulan yang mempunyai kaitan dengan ISIS telah mengumumkan rancangan mereka untuk menyerang bandar raya di negara anggota ASEAN bagi menubuhkan pentadbiran khalifah.

Sebagai usaha bersama untuk menentang ancaman keganasan, Dr Ng menawarkan bantuan Tentera Udara Singapura (SAF) dalam bentuk sebuah pesawat pengangkut C-130 milik pasukan itu bagi menghantar bekalan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang dipindahkan dari Marawi; penggunaan kampung latihan bandar SAF oleh anggota AFP; dan penghantaran pesawat udara tanpa juruterbang bagi meningkatkan kemampuan AFP dari segi perisikan, pemantauan dan pengawasan.

Mindef berkata Lorenzana menyatakan penghargaannya dan menerima secara prinsip tawaran Singapura itu.

Menurut kementerian berkenaan, lawatan Dr Ng itu membuktikan hubungan mesra dan erat yang wujud antara Singapura dan Filipina dalam bidang pertahanan.

Angkatan tentera dari kedua-dua negara sering berinteraksi melalui lawatan, program pertukaran profesional dan latihan pelbagai hala seperti ‘Exercise Coordinated Response’ pada Januari 2017, yang merupakan latihan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pelbagai negara pertama dihoskan Pusat Penyelarasan HADR Serantau Changi.

Pada 19 Jun, Singapura menghadiri upacara pelancaran Rondaan Maritim Tiga Pihak (TMP) oleh Indonesia, Malaysia dan Filipina di Tarakan, Indonesia sebagai pemerhati atas undangan tiga negara anggota rondaan bersama itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here