Sistem antipeluru berpandu AS lindungi Korea Selatan

0
47


SISTEM pertahanan antipeluru berpandu THAAD milik tentera AS dijangka beroperasi dalam tempoh beberapa hari lagi. – Foto Reuters

SEOUL: Sistem pertahanan antipeluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) milik tentera Amerika Syarikat (AS) dijangka beroperasi dalam tempoh beberapa hari lagi.

Ketua Pemerintah Pasifik, Laksamana Harry Harris, berkata sistem itu mampu mempertahankan Korea Selatan daripada ancaman yang semakin meningkat daripada Korea Utara.

Tindakan tentera AS menempatkan sistem pertahanan di sebuah tapak penempatan di Korea Selatan menimbulkan kemarahan China, ketika hubungan tegang kedua-dua negara susulan program nuklear Korea Utara.

Sebelum ini, Washington mendesak Beijing, iaitu sekutu kuat Pyongyang supaya menghalang peluasan program nuklear itu, tetapi gergasi Asia berkenaan bertindak sebaliknya, termasuk membantah penempatan THAAD di Korea Selatan.

AS dan sekutunya, Korea Selatan, mendakwa penggunaan THAAD yang dipersetujui bersama tahun lalu, adalah langkah persediaan bagi menghadapi ancaman senjata nuklear Korea Utara.

Namun, China khuatir ia akan melemahkan keupayaan senjatanya, sekali gus menjejaskan kestabilan serantau.

Dalam pada itu, semalam, televisyen menyiarkan imej treler dipercayai membawa peralatan berkaitan senjata memasuki kawasan bekas padang golf di selatan daerah Seongju.

Ia menyebabkan beribu-ribu penduduk mengemukakan bantahan, malah bertempur dengan polis kerana bimbang kesan penggunaan senjata itu terhadap alam sekitar.

Menurut aktivis, lebih 10 penduduk dilaporkan cedera, termasuk tiga orang yang terpaksa dirawat di hospital. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here