Sivarasa tulis surat kepada sultan jelaskan keadaan

0
22



Anggota Parlimen Subang R Sivarasa berkata beliau akan menulis secara peribadi kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menjelaskan kontroversi ekoran ucapannya di sebuah masjid.

Dalam kenyataanya petang tadi Sivarasa berkata insiden pada Rabu lalu itu sudah diberi gambaran tidak tepat oleh media, seolah-olah beliau memberikan ceramah politik.

Katanya, ada juga media membuat laporan salah kerana menyatakan beliau hadir sebagai wakil menteri besar Selangor.

“Saya tidak memberi apa-apa ceramah, khususnya ceramah politik pada malam itu. Perkara ini telah disalahertikan,” katanya mengenai majlis diadakan di Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang itu.

Hari ini Bernama melaporkan kemurkaan Sultan Sharafuddin dan perkara itu dinyatakan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim.

Haris pula dimaklumkan mengenai kemurkaan itu menerusi setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Sivarasa berkata majlis yang dihadirinya itu ialah pemberian sumbangan kepada surau dan masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Damansara dan dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Kota Damasara.

Tiada ceramah politik

Katanya, penganjur juga tidak memberikan masa untuknya menyampaikan apa-apa ceramah pada majlis itu.

“Bagaimanapun, sebelum menyampaikan sumbangan, saya dijemput pengacara majlis untuk memberi sepatah dua kata kepada lebih kurang 70 wakil surau dan masjid yang hadir.

“Sebagai tetamu dijemput memberi sepatah dua kata, tidak elok kalau saya menolak,” katanya.

Justeru, kata Sivarasa, beliau membuat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan dan menegaskan keyakinannya terhadap komitmen kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri itu.

Beliau juga berkongsi sedikit pengalamannya sebagai aggota parlimen sejak 2008 dan bagaimana lawatan ke surau dan masjid di kawasan Subang membantunya lebih memahami Islam serta penganutnya.

“Tidak ada apa-apa ceramah politik ataupun ceramah agama yang dibuat pada majlis penyampaian itu,” katanya.

Sebagai anggota parlimen yang dipilih oleh majoriti pengundi Islam dan bukan Islam, katanya, wajar bagi beliau memberi sokongan penuh kepada institusi agama Islam di kawasannya.

“Oleh kerana isu ini telah disalah erti, dan kerana saya tidak mempunyai sebarang niat untuk melanggar arahan dan nasihat Sultan Selangor, maka saya akan menulis sepucuk surat peribadi kepada baginda untuk menjelaskan perkara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here