Skuad B-16 kekal beraksi

0
263
Advertisement



KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) akan meneruskan perjuangan di Kejohanan AFF B-16 di Surabaya, Indonesia meskipun mereka mendapat ugutan dan kecaman oleh penyokong tempatan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak bercadang untuk menarik diri daripada bertanding.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang berpuas hati dengan tahap keselamatan yang diberikan oleh pihak tuan rumah.

“Pasukan Malaysia sudah diberi tambahan keselamatan dengan tiga kereta dan lima motosikal pengiring. Dengan tahap keselamatan diperketatkan, pasukan kita tak ada masalah selain isu dalam stadium di mana penyokong Indonesia datang ke perlawanan Thailand menentang Malaysia, ia agak luar biasa (penyokong pasukan lain datang ke stadium).

“Saya berpuas hati dengan keselamatan dan kerjasama dengan pihak PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) dan AFF jadi kita biarkan mereka mengendalikan perlawanan selepas ini.

“Tidak (Tarik diri), buat sementara ini persoalan untuk menarik diri kita tidak ada bincang dengan AFF,” katanya ketika ditemui pemberita di Seminar Kepentingan Fisioterapi Dalam Bola Sepak anjuran Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia dan DBC Physiotherapy hari ini.

Kontroversi melanda Kejohanan AFF B-16 d Surabaya apabila penyokong tuan rumah melaungkan kata-kata kesat ‘Malaysia itu anjing’ dan juga ‘Amirul itu anjing’ ketika skuad negara turun beraksi menentang Thailand dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Joko Samudro, Isnin lalu.

Tindakan penyokong Indonesia itu tercetus susulan pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.

Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan ia bukan provokasi sebaliknya hanya kesilapan meletakkan bendera Poland.

Berikutan insiden itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat bantahan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan AFF supaya tindakan tegas diambil.

“Surat bantahan sudah diberi, tapi kita belum terima maklum balas. FAM juga sudah menghantar Exco FAM ACP Md Dali Wahid sebagai pegawai keselamatan untuk memantau dan merangka pelan keselamatan pasukan kita,” jelas Stuart.

Skuad B-16 negara kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib bakal turun pada perlawanan kedua menentang Brunei di Stadium Gelora Joko Samudro untuk memburu kemenangan pertama selepas tewas 1-2 kepada Thailand pada aksi pembukaan Kumpulan B.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here