Skuad cilik kita kalah lagi

0
58



Kotschach (Austria): Skuad bawah 15 tahun (B-15) negara mengalami kekalahan kali ketiga berturut-turut selepas tumpas 0-1 kepada Croatia pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B saingan Torneo Delle Nazioni 2017 yang berlangsung di Pusat Sukan Hermagor Kotschach, hari ini.

Sebelum ini, skuad kendalian Lim Teong Kim itu turut tewas kepada Mexico (0-1) dan Austria (0-2) yang menyaksikan skuad cilik negara gagal mengutip sebarang mata.

Pada aksi hari ini, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan seimbang pada babak awal namun Malaysia lebih awal mendapat peluang untuk memimpin perlawanan menerusi tandukan Muhammad Hariz Mansor yang sekadar singgah palang gol pada minit ke-18.

Begitupun, kelekaan barisan pertahanan negara mengawal penyerang lawan ketika sepakan sudut akhirnya memakan diri apabila Luka Bransteter mudah menanduk masuk menewaskan penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel m-28.

Bersambung babak kedua Malaysia melancarkan beberapa siri serangan ke kubu Croatia namun pertahanan lawan diketuai David Legovic dan Tino Agic mudah mematahkan gerakan penyerang negara.

Jaringan tunggal Croatia kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan anak buah Teong Kim akan beraksi pada klasifikasi 5-12 yang dijadualkan Sabtu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here