Skuad Jang optimis 'sapu 6 mata'

0
255
Advertisement



SELEPAS meraih kemenangan berharga ke atas Selangor sekali gus menghidupkan peluang kekal di Liga Super musim depan, Negeri Sembilan (NS) berharap dapat mengekalkan persembahan terbaik itu pada baki dua perlawanan berikutnya.

Penolong kapten pasukan, Mohd Fauzan Dzulkifli berkata, dia dan rakan sepasukan akan cuba untuk mendapatkan mata maksimum daripada kedua-dua perlawanan berkenaan.

Dua perlawanan itu adalah membabitkan pertemuan menentang Kuala Lumpur di tempat lawan, Ahad ini dan Melaka United di laman sendiri pada 28 Julai ini.

“Walaupun mungkin berpeluang untuk kekal dalam liga bagi musim depan, tetapi fokus kami sekarang bukan ke arah itu.

“Sebaliknya kami mahu mempersiapkan diri dan pasukan bagi mendapatkan kemenangan dalam kedua-dua baki perlawanan.

“Kami sedar peluang itu sememangnya agak tipis tetapi ia tidak mustahil untuk dicapai. Apa yang penting, kami perlu mencapai kemenangan dalam kedua-dua baki saingan.

“Saya yakin dan percaya, kemenangan ke atas Selangor pada Rabu lalu, mampu menaikkan semangat dan moral pemain bagi meneruskan rentak terbaik ketika berdepan KL, nanti,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Fauzan yang juga bekas kapten PKNS FC, mengakui tugas mereka dalam merealisasikan sasaran berkenaan amat mencabar dan sukar kerana KL juga memerlukan kemenangan untuk mengelak tersingkir ke Liga Perdana.

Justeru itu katanya, dia dan rakan sepasukan perlu bekerja lebih keras memastikan sisa-sisa peluang yang ada itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menyelamatkan maruah skuad Hobin Jang Hobin musim ini.

Skuad Rusa yang berada di tangga ke-11 carta selepas mengumpul 15 mata kini bersaing dengan Kelantan dalam misi mengelak tersingkir ke Liga Perdana.

Mereka juga bersaing memburu tempat ke saingan Piala Malaysia kerana satu daripada pasukan dari Liga Super akan tersingkir ke saingan berprestij itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here