Skuad ragbi intai pendedahan di luar negara tingkat prestasi

0
58



SKUAD Ragbi 15 sebelah negara di bawah bimbingan Lee Nyuk Fah mengharapkan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dapat mengadakan program komprehensif dalam usaha mereka bersaing dalam kejohanan yang lebih mencabar.

Skuad negara mempertahankan kejuaraan Divisyen 1 Asia di Ipoh, minggu lalu, dengan menundukkan Sri Lanka dalam perlawanan akhir.

Skuad negara bakal berdepan Korea Selatan dan Hong Kong dalam saingan Liga Perdana sebelum berdepan salah satu negara Oceania di peringkat play-off untuk ke Piala Dunia.

Justeru, Nyuk Fah akan mengadakan perbincangan dengan KRM dalam masa terdekat bagi merencanakan program sehingga April 2018 bagi memastikan peningkatan prestasi skuad negara.

Sambil memuji kerjasama dan semangat antara anak-anak buahnya dalam memastikan kejayaan Divisyen 1, Nyuk Fah juga berharap pelaksanaan liga profesional dapat diadakan pada masa akan datang agar mereka dapat menjalani latihan sepenuh masa.

“Pemain-pemain yang bersama skuad negara ketika ini terdiri daripada pekerja dan pelajar. Mereka terpaksa memohon pelepasan cuti, malah ada yang sanggup dipotong gaji untuk membolehkan mereka menjalani latihan bersama skuad negara.

“Ketua pasukan, Syahir Asraf Rosli, contohnya bertugas sebagai seorang guru.

“Jika kita ingin bersaing dengan pasukan hebat seperti Hong Kong dan Korea, kami perlu menjalani persiapan rapi.

“Rata-rata pemain Korea terdiri daripada pemain profesional yang beraksi dalam Liga Jepun.

“Untuk menghadapi saingan Liga Perdana, kami memerlukan pelepasan sekurang-kurangnya selama empat minggu.

“Adalah penting kami mendapat jawapan positif daripada KRM,” ujarnya.

Beliau juga merancang untuk mengadakan aksi persahabatan dan latihan di luar negara bagi memantapkan prestasi anak buahnya.

“Dengan berlatih di luar negara, ia dapat memberi pendedahan kepada pemain daripada aspek fizikal dan mengatur perlawanan yang baik, setaraf dengan pasukan Korea dan Hong Kong, yang bakal kami hadapi.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here