SMK Methodist KL ungguli Liga Badminton Remaja

0
448
Advertisement



 

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Lelaki Kuala Lumpur bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mempertahankan gelaran juara dalam saingan Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM peringkat negeri selepas menewaskan SMK Raja Abdullah 3-2 dalam aksi final di Akademi Badminton Pioneer, hari ini.

Dalam saingan wanita pula menyaksikan SMK Seri Bintang Selatan melakar kemenangan ke atas Sekolah Antarabangsa Sri Sempurna 2-1 sekali gus merekodkan gelaran kedua berturut-turut selepas turut muncul juara edisi tahun lalu.

Jurulatih SMK Seri Bintang Selatan, Nurul Amin Mahadi optimis anak buahnya akan tampil lebih mantap bagi memberikan cabaran dalam saingan di peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.

Edisi tahun lalu menyaksikan SMK Seri Bintang yang mewakili Kuala Lumpur terkandas di peringkat kumpulan.

“Kami mungkin menang sekali lagi di peringkat negeri tahun ini tetapi cabaran kali ini lebih sukar berbanding tahun lalu,” kata Nurul Amin yang mengekalkan lima pemain daripada skuad yang beraksi tahun lalu.

“Sekolah lain menunjukkan peningkatan yang baik tetapi ia juga membuktikan kami bermain lebih baik. Tahun ini, pasukan kami nampak lebih mantap dan saya harap mereka boleh melangkah jauh di peringkat kebangsaan nanti.”

Juara kategori lelaki membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 manakala naib juara RM500. Kategori wanita pula menyaksikan SMK Seri Bintang Selatan meraih RM700 manakala Sekolah Antarabangsa Sri Sempurna RM350.

Hadiah disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia, Mohd Taupik Hussain dan Setiausaha Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Seluarize Sinnakali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here