SOHR dakwa ada maklumat kematian pemimpin Daesh

0
40


ABU Bakr al-Baghdadi. – Foto AFP

BEIRUT: Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) hari ini, berkata ia mempunyai maklumat daripada pemimpin atasan militan Daesh yang mengesahkan kematian ketua pergerakan itu, Abu Bakr al-Baghdadi.

“Komander atasan IS yang ada di wilayah Deir Ezzor mengesahkan kematian pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi, kepada SOHR.

“Kami mengetahuinya hari ini tetapi tidak tahu bila atau bagaimana beliau meninggal dunia,” kata pengarahnya, Rami Abdel Rahman.

Deir Ezzor yang terletak di timur Syria, masih dalam penguasaan Daesh walaupun kumpulan itu kehilangan semakin banyak wilayah di negara itu dan Iraq.

Abdel Rahman berkata, Baghdadi berada di timur Deir Ezzor beberapa bulan lalu tetapi tidak dapat dipastikan sama ada beliau terbunuh di wilayah itu atau tempat lain.

Ada beberapa khabar angin mengenai kematian Baghdadi beberapa bulan ini, dan tentera Russia pada pertengahan Jun lalu berkata, ia mencari kepastian sama ada sudah membunuh pemimpin Daesh itu dalam serangan udara di Syria Mei lalu. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here