Sonia makin garang

0
416
Advertisement



PEMAIN perseorangan wanita negara, Sonia Cheah semakin membara dalam misinya memburu gelaran sulung tahun ini selepas mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Thailand, hari ini.

Pemain ranking ke-35 dunia itu meneruskan kecemerlangannya apabila menang ke atas Zhang Yiman dari China 21-17, 21-17 dalam aksi pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Bangkok.

Sonia, 25, nyata gembira dengan pencapaiannya itu memandangkan ia adalah kali pertama dia berjaya melangkah ke kelompok terbaik dalam kejohanan bertaraf Siri Super atau sekarang dikenali Jelajah Dunia BWF Super 500.

“Ini kali pertama saya mara ke suku akhir dalam kejohanan bertaraf Siri Super. Ia bukan sesuatu yang mudah, saya akan terus bekerja keras untuk mencapai matlamat saya.

“Saya juga akan bekerja keras bagi merapatkan jurang dengan pemain utama dunia yang lain,” kata Sonia.

Dia yang meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan berdepan pemenang perlawanan antara pemain nombor tiga dunia dari India, P V Sindhu atau Yip Pui Yin dari Hong Kong bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

“Kalau saya bertemu Sindhu, saya akan beri saingan sengit. Bermain menentang pemain utama adalah berbeza kerana mereka laju, kuat dan memiliki ketepatan yang baik,” katanya.

Sementara itu, beregu lelaki muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar kejutan apabila turut mara hasil kemenangan ke atas pasangan nombor sembilan dunia dari Taiwan, Lee Jhe-Huei-Lee Yang 21-18, 13-21, 21-19.

Mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara dua pasangan Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit atau Nipitphon Phuangphuapet-Nanthakarn Yordphaisong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here