Spieth dapat rentak

0
128
Advertisement



CARNOUSTIE, Scotland: Jordan Spieth mampu mengimpikan untuk mempertahankan Claret Jug selepas aksi memukau pusingan ketiga pada Terbuka British semalam membantunya muncul pendahulu bersama keseluruhan di samping dua rakan senegara dari Amerika Syarikat, Xander Schauffele dan Kevin Kisner.

Trio itu terikat sembilan bawah par selepas penamat menarik dalam cuaca baik di Carnoustie, namun sekurang-kurangnya sedozen pemain lain turut mampu memburu kejuaraan termasuk Tiger Woods yang kembali memperagakan aksi terbaik di lapangan golf Scotland itu.

Spieth memulakan hari dengan sekadar tiga bawah par keseluruhan namun membuktikan kesungguhannya dengan eagle menakjubkan pada lubang pertama par-empat, baki pusingannya termasuk empat birdie dan tiada sebarang bogey bagi catatan enam bawah par 65.

Kini dia mendapati dirinya berada di landasan baik untuk menyusuli kejayaannya di Royal Birkdale 12 bulan lalu dan muncul pemain pertama mempertahankan kejuaraan Terbuka British sejak Padraig Harrington sedekad lalu.

“Saya berasakan permainan saya kembali bagus. Ia berjalan lancar. Kami akan berdepan satu kejohanan baru esok,” kata Spieth, yang menggunting rambutnya di pusat bandar Carnoustie sebelum turun ke lapangan.

Spieth menyatakan ia bukannya kerana dia mahu kelihatan bergaya bagi sesi bergambar sebagai juara esok tatkala dia menyedari halangan lebih sukar menanti termasuk kehadiran angin yang dijangka bertiup kencang.

“Saya tidak mahu terlalu yakin hingga memakan diri. Saya hanya mahu mengintai peluang saya selepas pusingan pertama (satu atas par) dan saya sudah bertindak baik dalam dua hari pertama,” ujarnya.

Kisner, yang berkongsi rumah dengan Spieth di Scotland minggu ini, memulakan hari sebagai pendahulu bersama dengan Zach Johnson dan mengukuhkan kedudukan baiknya dengan catatan 68 tanpa bogey.

“Hari ini pukulan tee ke green saya paling mantap sepanjang minggu,” kata Kisner, yang tidak pernah memenangi kejuaraan utama, sekalipun dia mendahului menjelang pusingan akhir Kejuaraan PGA AS tahun lalu sebelum berkongsi tangga ketujuh.

Sementara itu Schauffele, yang sama usia 24 tahun dengan Spieth, mencatat 67 sekali gus mencerahkan peluangnya merangkul kejuaraan utama sulung kariernya.

Ketika Kevin Chappell pencabar terdekat di belakang trio pendahulu dengan tujuh bawah par, prospek juara kejohanan utama dimenangi pemain AS kali keenam berturut-turut amat tinggi namun masih ada harapan dalam kalangan pemain Eropah.

Pemain Itali, Francesco Molinari merakam 65 tanpa bogey dan enam bawah par keseluruhan manakala pemain Sweden, Alex Noren lima bawah par di samping Rory McIlroy dan Tommy Fleetwood.

Kelompok lima bawah par turut menyaksikan Johnson dan Woods, yang menjadi tarikan ramai penonton apabila dia mencatat 66, pusingan terbaiknya pada kejohanan utama dalam tempoh sedekad.

“Ia bagus. Saya bermain dengan cemerlang hari ini. Saya benar-benar melakukannya. Saya banyak melakukan pukulan yang bagus. Saya tidak rasa melakukan sebarang hayunan buruk hinggalah lubang 18,” kata Woods.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here