SPRM ambil keterangan bekas timbalan presiden Yapeim

0
76



PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil keterangan bekas timbalan presiden Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) berhubung dakwaan kes penyelewengan dana pada pilihanraya kecil Parlimen Rompin pada 2015.

Menurut jurucakap SPRM, wanita berumur 69 tahun itu tiba di pejabat SPRM pada pukul 1 tengah hari untuk kenyataannya direkodkan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana berjumlah RM223,000, sebelum dibenarkan pulang kira-kira 5 petang hari ini.

Sebelum ini, seorang pengarah kanan Yapeim berumur 47 tahun ditahan reman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes pecah amanah.

Pengarah berumur 47 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan sendiri dan bersubahat dengan bekas timbalan presiden Yapeim bagi menyeleweng wang dana yayasan itu berjumlah RM223,000.

Beliau berkata wang itu kononnya akan diperuntukkan untuk sebuah program sumbangan kepada golongan miskin di daerah Rompin pada 2015.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here