Stadium Nasional bertukar menjadi pawagam mega

0
57
Advertisement

KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil di sini bertukar menjadi pawagam mega dengan ribuan penonton menyaksikan acara Tayangan Perdana Sedunia filem ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend‘, malam semalam.

Filem arahan Teng Bee itu mengisahkan kehidupan awal Datuk Lee Chong Wei yang penuh liku sehingga menjadi pemain badminton nombor satu dunia pada 21 Ogos 2008 ketika berusia 26 tahun.

Dipancarkan pada sebuah skrin LED khas gergasi berukuran 40 meter x 17 meter, filem biopik versi tambahan 133 minit itu, mencipta nama dalam Asia Book of Records dan Malaysia Book of Records, sebagai gala filem terbesar.

Versi filem rasmi hanya berjalan selama 110 minit dan akan mula ditayangkan di pawagam Golden Screen Cinema (GSC) di seluruh negara mulai 15 Mac ini.

Chong Wei bersama isteri, Datin Wong Mew Choo dan dua anak lelaki mereka, Kingston dan Terrance menyertai lebih 20,000 penonton untuk menyaksikan filem tersebut untuk julung kali.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Acara tayangan perdana itu bermula dengan majlis acara permaidani merah sepanjang 100 meter dengan mengalu-alukan kedatangan Chong Wei dan keluarga, barisan pelakon, tetamu serta selebriti jemputan.

Para penonton turut dihiburkan oleh dua penyanyi – Nabila Razali dan Priscilla Abby – yang mendengangkan lagu tema filem tersebut, ‘Cahaya Juara’.

Filem itu dibintangi Tosh Chan yang membawa watak Chong Wei dewasa dan Jake Eng menjayakan watak zaman kanak-kanak.

Turut membintangi ialah Datuk Rosyam Nor yang memegang watak jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek, Ashley Ashley (Datin Wong Mew Choo), pelakon terkenal Singapura, Mark Lee (bapa Chong Wei, Lee Ah Chai) dan Yeo Yann Yann (ibu Chong Wei, Khor Kim Chooi).

Penonton yang membeli tiket berharga RM88, RM108, RM128 dan RM168 untuk tayangan perdana itu turut menerima secara percuma sehelai kemeja-T filem Lee Chong Wei bernilai RM59, sekeping tiket filem Lee Chong Wei di pawagam GSC, sekeping poster edisi terhad filem Lee Chong Wei serta beg. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here