Sudah sampai masanya lakukan pembaharuan struktur berani – Gabenor BNM

0
110
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu merebut peluang yang terhasil daripada ekonomi kukuh serta persekitaran global yang positif untuk meletakkannya di laluan pertumbuhan ekonomi lebih produktif, canggih dan mampan menerusi pembaharuan struktur berani pasaran buruh, pelaburan serta bahagian pertumbuhan baharu.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata laluan yang sedemikian bukan baharu bagi Malaysia kerana ia adalah faktor yang meletakkan ekonomi negara menjadi sebuah ekonomi yang sangat terbuka, pelbagai serta memiliki kepelbagaian sumber pertumbuhan.

“(Justeru itu), sudah sampai masanya untuk memulakan dasar jangka panjang yang akan meningkatkan lagi daya saing kita dan memastikan ekonomi kita seimbang untuk mencapai pertumbuhan mampan,” katanya pada taklimat bersama para Editor Kanan pada Selasa sempena pengumuman Laporan Tahunan 2017 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 BNM pada Rabu.

Muhammad berkata persekitaran ekonomi yang positif ketika ini akan menyediakan ruang dasar yang besar kepada penggubal dasar untuk meneruskan pembaharuan yang perlu, sambil menambah pasaran buruh, antara lainnya, memerlukan perhatian segera.

“Untuk mengelak daripada terperangkap dalam perangkap pendapatan rendah, produktiviti rendah dan kos rendah, Malaysia perlu melakukan pembaharuan dalam pasaran buruh dengan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, terutamanya bagi generasi baharu yang mencari kerja.

“Jika kita kekal seperti kita sekarang, anak-anak kita tidak akan mempunyai pekerjaan yang cukup baik dan saya tidak rasa anak-anak kita akan menjadi lebih baik daripada kita. Malahan sekarang, saya tidak pasti jika anak-anak kita hidup lebih baik berbanding kita,” katanya.

Gabenor BNM berkata faktor utama lain adalah untuk menarik pelaburan berkualiti yang memberi sumbangan kepada pembangunan negara dan meneroka bidang pertumbuhan baharu dan aktiviti baharu seperti perkongsian ekonomi, ekonomi digital dan proses pembuatan lebih canggih.

Menurut laporan BNM itu, peralihan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju akan terhalang selagi firma masih berlumba-lumba untuk mengurangkan kos pekerja dan tidak sanggup membayar lebih walaupun produktiviti boleh ditingkatkan sekiranya terdapat perubahan.

“Penggajian pekerja asing yang lebih murah berbanding dengan pekerja tempatan membolehkan majikan mengekalkan upah yang rendah dan dengan itu majikan tiada tekanan untuk mengubah staus quo. Hal ini mengganggu mekanisme penetapan upah semula jadi yang sepatutnya boleh menaikkan upah,” kata bank pusat.

Kajian menunjukkan beberapa jenis tekanan pada upah keseluruhan, khususnya terhadap upah pekerja tempatan berkemahiran rendah.

Upah median bagi pekerja asing pada umumnya lebih rendah daripada pekerja tempatan, terutamanya bagi pekerjaan berkemahiran sederhana yang 60.8 peratus daripadanya dikuasai oleh pekerja tempatan.

“Tidak mustahil dengan kehadiran pekerja asing yang terlalu ramai dalam sektor swasta dapat melebarkan jurang perbezaan upah dan menghalang peluang pewujudan pekerjaan untuk pekerja tempatan,” kata laporan BNM itu.

Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas dalam ekonomi-ekonomi Majlis Kerjasama Teluk yang mana 88 peratus daripada pekerjaan sektor swasta yang diwujudkan dari tahun 2000-2010 terdiri daripada pekerja asing, dan 85 peratus daripada mereka berkemahiran rendah.

“Walaupun pengambilan lebih banyak pekerja asing yang berkemahiran rendah mewujudkan pekerjaan berkemahiran sederhana dan berbentuk penyeliaan, kesesuaian kaedah ini boleh dipertikaikan.

“Automasi dan penggunaan teknologi canggih juga boleh mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran lebih tinggi. Keadaan ini biasanya disertai upah yang lebih baik dan boleh diisi oleh graduan menganggur yang dilatih semula,” kata laporan itu sambil menambah pada masa hadapan banyak lagi daya usaha yang boleh dilakukan untuk mencapai kemajuan yang dikehendaki.

Matlamat akhir adalah untuk memastikan sistem pengurusan pekerja asing masa hadapan disampaikan dengan jelas, dilaksanakan dengan tegas, dan lebih sejajar dengan matlamat ekonomi Malaysia yang perlu dicapai.

Laporan itu menggariskan lima perkara utama yang perlu dilakukan, iaitu perlu ada pendirian jelas mengenai peranan pekerja asing, pelaksanaan dan perubahan dasar perlu dilakukan beransur-ansur dan dimaklumkan kepada industri dengan jelas, instrumen pengurusan permintaan yang didorong oleh kuasa pasaran, layanan adil kepada pekerja asing dan pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan.

Bagi pelaburan, BNM menyatakan mungkin juga terdapat ketidakpadanan antara pelaburan yang diterima dengan bidang pertumbuhan baharu yang sepatutnya dipupuk oleh negara.

“Misalnya, terdapat bukti baharu tentang peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor yang kurang produktif seperti pembangunan hartana tanah dan pembinaan, terutamanya dalam segmen yang dikenal pasti sebagai sektor yang menghadapi ketidakseimbangan.

“FDI dalam sektor harta tanah dan pembinaan telah meningkat dari segi bahagian, daripada purata 6.3 peratus daripada aliran FDI tahunan pada 2010-2015, kepada 19.1 peratus pada 2016 dan 2017,” kata bank pusat.

Perbincangan dan interaksi dengan wakil industri menunjukkan bahawa pelaburan ini disalurkan terutamanya dalam segmen harta tanah bernilai lebih tinggi.

“Ketirisan lain termasuk limpahan dalam negeri yang rendah kerana kadar penghantaran balik pendapatan yang tinggi oleh syarikat-syarikat asing dan kiriman wang yang tinggi daripada pekerja asing , kedua-duanya merupakan faktor struktur yang menjejaskan imbangan akaun semasa Malaysia,” kata laporan itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here