Sukan Asia medan kebangkitan Indonesia

0
205
Advertisement



JAKARTA: Indonesia berharap dengan menjadi tuan rumah Sukan Asia dapat mengubah nasib skuad bola sepak negara itu dan menjadi pencetus kebangkitan bagi menghadapi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, demikian menurut jurucakap persatuan bola sepak negara itu.

Indonesia diharamkan daripada menyertai kejohanan antarabangsa pada 2015 ekoran campur tangan kerajaan dalam liga tempatan, dilarang beraksi di kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Walaupun badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA menarik balik pengharaman itu pada 2016, ranking skuad negara itu menjunam ke tangga ke-164 dunia, ‘terselit’ di antara Belize dan Fiji.

“Sukan Asia menjadi titik permulaan dan PSSI (Persatuan Bolasepak Indonesia) mahu mencapai lebih daripada itu. Jika kami mahu sasar jangka pendek, Sukan Olimpik 2014 adalah jawapannya,” kata Joko Driyono, naib pengerusi PSSI kepada Reuters.

Joko berkata, PSSI dan kerajaan komited dalam masa tiga hingga lima tahun untuk memperbaiki dan menaik taraf infrastrukur bola sepak di semua peringkat bagi mencapai tujuan itu.

Bekas jurulatih bawah 21 tahun Sepanyol, Luis Milla dilantik pengurus Indonesia pada awal 2017 dengan misi merombak semula dan melonjakkan kembali imej bola sepak negara itu.

Sukan Asia yang berlangsung dari 18 Ogos sehingga 2 September dijangka disertai 17,000 atlet dan pegawai serta 100,000 penonton.

24 pasukan bola sepak lelaki yang diwakili pemain bawah 23 tahun dengan hanya tiga pemain lebih usia dibenarkan akan beraksi di empat stadium di Jawa Barat sementara acara perempuan berlangsung di Palembang, Sumatra.

“Sudah tentu kami berusaha untuk menang dan menjadi juara tetapi sasaran utama untuk memenangi hati rakyat Indonesia dengan prestasi cemerlang bola sepak kami,” kata Ilija Spasojevic, pemain Montenegro kelahiran Indonesia.

Bagaimanapun, beberapa penyokong tidak yakin dengan jaminan itu.

“Pembangunan bola sepak di negara ini sangat perlahan dan menyedihkan,” kata Muhammad Ali, 49, selepas beriadah di atas bumbung bangunan terbiar di Jakarta.

“Dengan skuad kebangsaan masih lesu, sukar untuk menjadi juara di peringkat serantau apatah lagi mahu menggegar Asia.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here