Sukan Asia tanpa 'terjunan' Jun Hoong

0
17
Advertisement



 

KONTINJEN Malaysia ke Sukan Asia kehilangan satu lagi prospek emas apabila ratu terjun, Cheong Jun Hoong terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya serantau itu kerana kecederaan kronik pada lutut sebelah kiri.

Perkara itu disahkan Pengarah Bahagian Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Arshad Puji yang melakukan pemeriksaan berhubung tahap kecederaan juara dunia itu.

Arshad pada sidang media semalam memaklumkan bahawa Jun Hoong memerlukan tempoh enam hingga sembilan bulan untuk sembuh sebelum kembali menjalani latihan.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap Jun Hoong apabila dia bertemu dengan doktor di ISN selepas mengadu mengalami kesakitan di bahagian lutut dan semakin sakit apabila ia mula membengkak.

“Jun Hoong pernah menjalani pembedahan 10 tahun lalu yang mana pembedahan itu mengundang kepada kecederaan sekarang. Kecederaan itu mengganggu kecederaan lama dan disebabkan itu memerlukan tempoh enam hingga sembilan bulan,” katanya.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut akan dijalankan ke atas Jun Hoong dan analisa terperinci akan dilakukan sebelum memutuskan rawatan terbaik buat atlet terjun negara itu.

Penarikan diri Jun Hoong itu memberi tamparan hebat buat kontinjen diketuai Datuk Seri Azim Zabidi selepas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei turut menarik diri kerana masalah kesihatan.

Jun Hoong sebelum ini dimaklumkan akan menyertai Sukan Asia dari 18 Ogos hingga 2 September ini dalam acara 10 meter terjun seirama dan juga 10m platform individu.

Kekosongan yang ditinggal Jun Hoong itu akan diisi penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee yang akan bergandingan bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m seirama manakala Nur Dhabitah Sabri beraksi dalam acara 10m platform individu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here