Sukan Komanwel 2022 bukan proses bidaan tradisional – Tunku Imran

0
71



KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Sukan Komanwel Malaysia (CGAM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata Malaysia adalah antara negara dalam senarai untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022.

“Ini bukan proses bidaan tradisional tetapi pendekatan secara perkongsian yang dipimpin Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dengan negara-negara berminat yang berpotensi dan kami gembira menjadi sebahagian daripada proses pemilihan itu.

“Kami komited terhadap kuasa sukan serta kedudukan kita di pentas dunia, dan sangat berkeyakinan ada manfaat penganjuran yang besar kepada Malaysia dikaitkan dengan Sukan Komanwel.

“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan pasukan CGF melalui peringkat seterusnya proses pemilihan bandar tuan rumah,” kata Tunku Imran, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Adalah penting bagi menjelaskan minat Malaysia dan penglibatan dengan CGF sebagai sebahagian daripada proses untuk Sukan Komanwel akan datang, termasuk meneroka potensi untuk temasya 2022 atau 2026,” kata Tunku Imran dalam kenyataan hari ini.

CGF telah menyenarai pendek Malaysia sebagai antara negara yang berpotensi untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022 selepas Durban di Afrika Selatan digugurkan kerana gagal memenuhi beberapa tarikh penamat yang ditetapkan CGF.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here