Sultan Nazrin wakili Malaysia ke upacara persemadian Diraja Thailand

0
85
Advertisement

BANGKOK: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim akan mewakili Malaysia pada Upacara Persemadian Diraja mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, menurut Kementerian Luar Thailand.

Upacara Persemadian Diraja itu akan berlangsung selama lima hari mulai Rabu ini, dan pembakaran jasad ditetapkan pada Khamis.

Selain Malaysia, kementerian itu mengesahkan kehadiran keluarga diraja dari negara lain termasuk Raja Bhutan Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dan Permaisuri Ashi Jetsun Pema Wangchuck.

Putera Akishino dari Jepun, Raja Letsie III (Lesotho), Raja Tupou VI (Tonga), Permaisuri Mathilde (Belgium), Permaisuri Sofia (Sepanyol), Putera Mahkota Frederik (Denmark), Putera Mahkota Haakon Magnus (Norway) dan Putera Andrew Duke of York (United Kingdom) akan berangkat hadir.

Antara pemimpin asing dan Ketua Negara yang akan menghadiri upacara bersejarah ini termasuk Halimah Yaacob (Singapura), Sir Peter Cosgrove (Australia), Hun Sen (Kemboja), James M.Mattis (Amerika Syarikat), Bounnhang Vorachith (Laos) dan Alan Peter S.Cayetano (Filipina).

Setakat ini, 14 anggota kerabat diraja asing di samping 18 pemimpin dunia serta ketua negara telah mengesahkan kehadiran dalam upacara itu.

Kerajaan Thai menganggarkan lebih 250,000 orang akan berhimpun berhampiran Grand Palace dan Sanam Luang yang merupakan kawasan istiadat untuk menyaksikan Upacara Persemadian Diraja itu.

Acara bersejarah itu akan bermula pada Rabu petang dengan upacara membuat merit diraja sebagai persediaan untuk membawa Bekas Abu Mayat Diraja ke Krematorium Diraja di kawasan istiadat Sanam Luang.

Upacara pembakaran jasad akan diadakan pada Khamis mulai jam 7 pagi (waktu tempatan) dengan perarakan membawa Bekas Abu Mayat Diraja dari Grand Palace ke kawasan istiadat Sanam Luang. Pembakaran sebenar jasad dijangka bermula pada 10 malam (waktu tempatan).

Khamis diisytiharkan sebagai cuti umum di Thailand untuk membolehkan rakyat yang berkabung menghadiri upacara itu manakala kedai dan pusat hiburan juga dijangka tidak beroperasi pada berkenaan.

Upacara Persemadian Diraja akan bersambung pada Jumaat serta Sabtu dan selesai pada Ahad, 29 Okt apabila Abu Diraja dipindahkan untuk bersemadi di dua kuil, Wat Rajabopidh dan Wat Bovoranives.

Penamat Upacara Persemadian Diraja itu juga menandakan berakhirnya tempoh berkabung selama setahun di Thailand.

Mendiang Raja Bhumipol, 89, raja kesembilan dalam Dinasti Chakri, mangkat pada 13 Okt tahun selepas setelah menduduki takhta selama 70 tahun. Putera tunggal baginda, Raja Maha Vajiralongkorn menaiki takhta tahun lepas berikutan kemangkatan ayahanda baginda.

Istiadat pertabalan baginda dijangka diadakan hujung tahun ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here