Sultan Perak rasmi kolej perikanan

0
18



Sitiawan: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut di Kompleks Perikanan Kampung Acheh, dekat sini, semalam.

Kolej itu mula dibina pada Februari 2013 dan siap sepenuhnya pada 1 April 2016 di atas tanah seluas 4.8 hektar serta memiliki kemudahan lengkap bangunan pentadbiran dan akademik termasuk asrama, dewan dan surau.

Ia mula beroperasi pada April 2016 dengan pengambilan pertama pelajar seramai 84 orang bagi sesi Julai 2016 dan sehingga kini seramai 110 pelajar mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua dan tiga serta Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahap empat dalam dua bidang iaitu teknologi perikanan tangkapan dan akuakultur marin.

Dibangunkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membabitkan kos RM69.8 juta bakal melahirkan 2,000 graduan mahir dalam bidang pemodenan industri perikanan menjelang 2020.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, penubuhan kolej berkenaan sebagai aspirasi memoden dan mentransformasi industri perikanan melalui model latihan dan pembangunan modal insan mahir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here