Sultan Selangor murka tindakan MP Subang

0
39



Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan dukacita terhadap tindakan Anggota Parlimen Subang, R Sivarasa, yang didakwa memberi ceramah berkaitan politik di  Masjid An Nur Kampung Melayu Subang dekat Klang Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh baginda sendiri.

“Tuanku sebelum ini telah melahirkan rasa murka dan dukacita berhubung perkara itu menerusi Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

“… dan baginda sekali lagi melahirkan rasa teramat murka (berhubung tindakan Sivarasa) kepada saya pada majlis berbuka puasa tadi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Kampung Sementa, Kapar di Klang, yang disempurnakan oleh Sultan Sharafuddin semalam

Haris berkata pihak JAIS telah memanggil nazir masjid berkenaan pada Jumaat lepas untuk memberi penjelasan berhubung kejadian itu dan telah menyembahkan laporan itu kepada baginda, kelmarin.

Menurutnya, setelah meneliti laporan tersebut Sultan Selangor menyifatkan tindakan nazir serta penganjur seolah-olah tidak menghormati titah baginda yang melarang ruang masjid digunakan untuk aktiviti politik.

“Baginda Sultan turut menitahkan JAIS mengambil tindakan segera terhadap nazir serta pihak penganjur.

“Kita meminta nazir berkenaan memberi surat tunjuk sebab dalam minggu ini juga mengapa beliau membenarkan Sivarasa berucap di dalam masjid dan kita akan lihat tindakan bersesuaian yang boleh diambil sama ada amaran, gantung jawatan atau dipecat,” katanya.

Haris berkata beliau difahamkan nazir masjid berkenaan tidak mempunyai pengetahuan berhubung kehadiran Sivarasa pada program penyerahan sumbangan moreh masjid itu, dan pihaknya juga difahamkan tiada sebarang ceramah dijadualkan dalam program tersebut.

Rabu lepas, Sivarasa dilaporkan memasuki masjid itu sebagai mewakili Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum didakwa menyampaikan ceramah berkaitan politik ketika berada di dalam dewan solat.

Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat daripada PKR itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here