Sumbangan baju raya

0
69



Tidak hanya tampil dengan pelbagai program menarik sepanjang Ramadan ini, Astro turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan menerusi kempen Projek #Darihati.

Menerusi kempen ini, Astro berganding bahu bersama komuniti setempat menawarkan sumbangan berbentuk pakaian baru atau terpakai.

Ia akan disumbangkan kepada sembilan rumah kebajikan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh Malaysia.

Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak Raja Jastina Raja Arshad berkata, kempen ini inisiatif Astro dalam bekerjasama dengan orang ramai untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Jika tahun lalu kami bergotong- royong membersihkan kawasan di sekitar bazar yang terpilih, tahun ini kami cuba cara lain pula.

“Kami yakin ramai yang tidak berkemampuan dan mereka wajar dibantu serta diraikan untuk sama-sama merasakan kemeriahan suasana Aidilfitri,” katanya.

Raja Jastina berkata, pemilihan Ramadan dalam menganjurkan program seperti ini adalah inisiatif Astro sendiri untuk cuba menganjurkan pelbagai aktiviti setiap kali tibanya Ramadan.

“Setiap tahun Ramadan menjadi sasaran Astro untuk menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan.

“Kali ini kami berharap dapat memberikan bantuan dan kemeriahan kepada mereka yang tidak mampu untuk berbaju baru pada hari raya,” katanya.

Projek #Darihati sudah dimulakan sejak 22 Mei lalu dan akan berakhir pada 9 Jun ini.

Mengangkat konsep ‘Beli satu, Beri satu’, semua pakaian akan dikumpulkan di tujuh lokasi terpilih.

Antaranya Pusat Khidmat Pelanggan Astro di Jalan Burmah (Pulau Pinang), Seberang Prai, Damansara Utama, Ipoh, Cheras, Seremban dan Johor Bahru.

Raja Jastina berkata, besar harapannya jika projek ini berjaya ia akan diteruskan pada bulan lain.

“Insya-Allah andai projek ini terlaksana dengan jayanya, kami akan meneruskannya lagi pada masa akan datang dan tidak hanya pada Ramadan saja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here