'Surat KDN pada The Star macam cubitan saja'

0
55



Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab dan The Star sudah meminta maaf. Namun ia kelihatan tidak memadai bagi PAS.

Hari ini naib presiden parti itu, Datuk Iskandar Abdul Samad, tampil membuat laporan polis berhubung penyiaran muka depan akhbar harian berbahasa Inggeris itu pada 27 Mei lalu.

Kata Iskandar, PAS tidak berpuas hati dengan tindakan KDN yang hanya memberi surat tunjuk sebab kepada pihak The Star bagi menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap akhbar itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Katanya, surat berkenaan boleh dianggap tidak lebih sekadar “cubitan” oleh KDN terhadap akhbar itu dan menggesa tindakan yang lebih tegas diambil ke atas The Star.

“Saya ingat KDN akan terus gantung The Star. Tindakan itu macam mencubit saja.

“Kalau surat tunjuk sebab tak memadai kerana ini bukan tentang menyalahkan atau menghina umat Islam sahaja tapi ia melibatkan keharmonian dalam masyarakat.

“Justeru kita desak tindakan sekeras-kerasnya dikenakan terhadap The Star,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Ampang hari ini.

The Star menjadi sasaran kritikan apabila menyiarkan gambar umat Islam sedang sembahyang pada muka depannya pada hari sama ia memaparkan laporan mengenai keganasan.

KDN sudah memanggil pegawai kanan akhbar itu untuk memberi penjelasan. Empat wakil akhbar itu hadir di Putrajaya semalam.

Tengok dulu apa jadi

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata kerajaan kecewa dengan akhbar itu yang memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih bersama tajuk muka depan Malaysian Terrorist Leader (pemimpin pengganas).

The Star sudah memohon maaf kelmarin dan menjelaskan, memang menjadi amalan mereka menerbitkan gambar solat tarawih di muka depan pada hari pertama Ramadan, kerana menghormati bulan mulia itu.

Sementara itu Iskandar berkata beliau membuat laporan polis itu kerana mengambil tanggungjawab sebagai seorang Islam dan tidak mahu ia berulang lagi.

“Kita keluar buat laporan polis sebab kita nak bagi satu mesej yang tegas supaya benda begini tak berlaku lagi.

“Kita kena betul-betul jaga keharmonian beragama kita. Saya betul-betul berharap ia menjadi pengajaran pada semua media dan perlu ada tindakan yang tegas pada The Star,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Iskandar mempunyai rancangan untuk berhimpun di pejabat The Star, beliau berkata: “Kita tengok dulu apa yang akan berlaku lepas ni. Kita buat laporan polis di sini dan tempat lain. Kita nak hantar mesej yang tegas dan bukan sahaja pada The Star tapi semua media,” katanya.

Turut menyertai Iskandar ialah Ketua Pemuda PAS Pandan, Mohamed Sukri Omar, dan 30 penyokong parti itu.

Mereka turut membawa plakad “Niat Jangan Jahat”, “The Star Jahat”, “Tarik permit dia” dan “Peace for All“.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here