Suspek larikan kereta polis ditahan di Kelantan

0
72



Seorang suspek kes pecah amanah yang melarikan sebuah kenderaan polis di USJ Taipan, Subang Jaya pada 19 Mei lepas ditahan di Jalan Pekeliling, Kota Bharu, Kelantan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari berkata suspek lelaki berumur 32 tahun itu ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada kira-kira 3.30 pagi.

“Suspek ditahan bersabit kes penipuan pinjaman tidak wujud yang melibatkan lima kes di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 19 Mei lepas, suspek yang ditahan di Kota Bharu itu telah melarikan diri dengan memandu kereta jenis Proton Preve berwarna kelabu kira-kira 9 malam sebelum meninggalkan kenderaan itu di sebuah kawasan berdekatan Persiaran Kewajipan di USJ 5, Subang Jaya.

Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat dalam sidang media berkata ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dari Kelantan, suspek mengadu tidak sihat dan mendakwa mempunyai penyakit gastrik serta mengalami muntah-muntah.

Katanya anggota polis yang memandu kenderaan itu kemudian memberhentikan kereta di sebuah kedai serbaneka dan farmasi di sekitar USJ Taipan untuk membeli makanan serta ubat untuk suspek.

“Semasa seorang anggota kita pergi ke farmasi, seorang lagi ke but kereta untuk mengambil tisu dan kain bagi mencuci muntah suspek di dalam kereta. Ketika itulah suspek yang tangannya bergari di depan telah melompat ke bahagian pemandu sebelum melarikan kereta polis itu,” katanya.

-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here