Suspek pengeboman Kuil Erawan dihadapkan di Mahkamah Tentera Bangkok

0
21

BANGKOK: Seorang suspek dalam insiden pengeboman kuil Erawan dua tahun lepas yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia, dihadapkan di Mahkamah Tentera Bangkok hari ini bagi permohonan tempoh tahanan pertama 12 hari terhadapnya.

Wanna Suansan, 29, isteri seorang lagi suspek dalam insiden paling buruk di Thailand itu, Emrah Davutoglu, ditahan semalam sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Turki, tempat dia ditahan sejak dua tahun lepas.

Ketibaannya di lapangan terbang bersama dua anak kecil disambut anggota keluarganya dan sekumpulan anggota polis termasuk Timbalan Ketua Polis Negara Jen Srivara Rangsibrahmanakul, yang kemudian segera menahannya.

Dia dibawa ke ibu pejabat Polis Diraja Thai dan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Pihak berkuasa Thai mengeluarkan waran tangkap terhadap Wanna pada 25 Sept 2015 berikutan serangan bom pada 17 Ogos di kuil itu yang terletak di persimpangan Ratchaprasong, satu daripada lokasi pelancongan paling sibuk dan terkini di Bangkok.

Wanna, anak jati selatan Thai, didakwa menyewakan bilik kepada dua lelaki etnik Uighur, Mohamad Bilal alias Adem Karadeg, 31, dan Yusufu Mierali, 27, dari Xinjiang, China, yang bersahabat dengan suaminya, seorang rakyat Turki.

Kedua-dua mereka ditahan pihak berkuasa Thai beberapa hari selepas insiden pengeboman itu dan didakwa di Mahkamah Tentera kerana melakukan serangan itu, yang dinafikan mereka sekeras-kerasnya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here