Suspek rogol dan bunuh Zainab Ansari ditahan polis Pakistan

0
28
Advertisement

LAHORE: Pihak berkuasa Pakistan pada Rabu menahan seorang suspek dalam kes rogol dan bunuh kanak-kanak berusia tujuh tahun, yang mencetuskan kemarahan dan protes di seluruh negara kerana timbul dakwaan yang kerajaan tidak bertindak dalam kes itu.

Polis menemui mayat Zainab Ansari di dalam timbunan sampah di daerah Kasur dekat Lahore minggu lalu, empat hari selepas dia dilaporkan hilang.

Penduduk kawasan itu berkata, pembunuhan itu merupakan insiden serupa yang ke-12 terjadi tahun ini, dan ia menimbulkan ketakutan yang seorang perogol bersiri mungkin masih bergerak bebas di situ.

Pada masa sama, dua orang terbunuh di Kasur minggu lalu apabila polis melepaskan tembakan kepada ratusan penunjuk perasaan yang sedang marah, yang mendakwa kecuaian pihak berkuasa menjadi punca kes pembunuhan serupa berulang.

Menurut dua orang anggota polis, pihak berkuasa telah menangkap seorang lelaki yang dianggap sebagai suspek utama, selepas polis menyoal siasat puluhan orang berhubung kes itu.

“Bukti yang kami temui membuatkan kami percaya dia adalah lelaki itu,” kata salah seorang pegawai yang enggan dikenali.

Shahbaz Sharif, ketua menteri wilayah Punjab, di mana terletaknya Kasur, melawat bandar itu pada Rabu dan mengadakan pertemuan dengan para pegawainya membincangkan siasatan kes itu.

Ketika bercakap kepada media selepas mesyuarat itu, Sharif tidak mengesahkan penangkapan suspek tetapi berkata, polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain sudah hampir menyelesaikan kes itu, dijangka dalam masa beberapa “hari atau jam”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here