Suzuki dahaga gol

0
64



Seremban: Selepas gagal memanfaatkan rentetan peluang ketika suku akhir kedua Piala FA, minggu lalu, penyerang berbisa Negeri Sembilan, Bruno Suzuki bertekad untuk kembali menemui sentuhan jaringan apabila turun menentang Perlis pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, petang ini.

Kali terakhir dia menjaringkan gol dalam liga adalah ketika bertemu Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) di gelanggang lawan.

Penyerang dari Jepun itu mahu memberikan persembahan terbaik dan memastikan dia mampu menjadi penggerak utama dalam membantu Negeri Sembilan menewaskan Perlis.

“Saya harap dapat memanfaatkan setiap peluang dengan baik bagi menjaringkan gol untuk pasukan sekali gus menebus kekecewaan dalam aksi sebelum ini. Pertemuan dengan Perlis petang esok (hari ini) amat penting buat pasukan meraih tiga mata untuk kekal di puncak carta liga.

“Saya akan bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik dan berharap dapat kerjasama baik semua rakan sepasukan untuk sama-sama merealisasikan kejayaan pasukan,” katanya semalam.

Pemain tengah berusia 27 tahun itu yang setakat ini sudah menjaringkan lapan gol dalam semua pertandingan menjanjikan aksi mantap untuk memastikan skuad Hoben Jang Hoben terus mempertahankan kedudukan terbaik dalam liga.

“Sudah tentu kami mahu terus bergerak ke hadapan dengan meneruskan kemenangan. Saya yakin dan percaya semua pemain akan memberikan aksi terbaik untuk menterjemahkan kemenangan,” katanya.

Sementara itu, kapten Nasriq Baharom mahu rakan sepasukan kekal fokus kerana Perlis tetap antara pencabar terkuat dalam liga walaupun mereka berada di dasar liga.

“Saya harap rakan sepasukan tidak leka dalam mengharungi 90 minit perlawanan sebaliknya perlu lebih berhati-hati kerana Perlis tetap pencabar utama dan sebarang kesilapan boleh membawa padah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here