Swasta digalak buka makmal proses madu kelulut – Ahmad Shabery

0
296
Advertisement

KEMAMAN: Pihak swasta digalak membuka makmal atau pusat pemprosesan madu kelulut bagi menghasilkan madu berkualiti dan mampu menjana keuntungan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mempunyai kaedah dan kajian terbaik serta telah mencipta beberapa jenis mesin teknologi terkini untuk membantu mereka yang berminat.

“Mardi akan mainkan peranan kerana bukan semua mesin boleh dibeli secara terus, ada di antaranya dicipta oleh Mardi. Ia berharga antara RM10,000 hingga RM200,000. Saya galakkan ia turut dibangunkan oleh pihak swasta supaya lebih meluas.

“Jika hanya Mardi yang uruskan… kebetulan permintaan tinggi, ia dibimbangi berlaku ketidakcukupan tenaga kerja dan melambatkan urusan pengusaha dalam mendapatkan madu yang telah diproses,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Makmal Pemprosesan Madu Kelulut Kemaman, hari ini.

Makmal yang pertama kali dibangunkan itu menawarkan perkhidmatan pengeringan madu kelulut, pembungkusan dan analisis ringkas penentuan kualliti madu kelulut.

Kos bagi mewujudkan makmal tersebut kira-kira RM172,000 termasuk pembelian pelbagai peralatan dan mampu memproses 50 kilogram madu sehari.

Ahmad Shabery berkata pengusaha madu kelulut perlu memberi penekanan terhadap penjagaan kualiti bagi mengelak pengguna tertipu dan perusahaan dapat bertahan lama.

Katanya sehingga Mac 2017, usahawan kelulut yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu seramai 150 orang manakala berdaftar di bawah Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (Pelekat) seramai 80 orang.

“Mardi akan terus membantu usahawan kelulut. Untuk peringkat awal ini Mardi akan mengenakan caj RM5 sahaja untuk sekilogram madu kelulut yang mahu diproses. Diskaun itu selama dua bulan dan selepas itu dikenakan caj RM10 sekilogram. Pengusaha boleh bawa balik dan buat pembungkusan sendiri.

“Jika mahu Mardi buat semua proses, boleh jual secara terus kepada Mardi dan Mardi akan pasarkan mengikut standard ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here