Syafiq Kyle serap tohmahan jadi insan lebih kuat

0
80


SYAFIQ Kyle atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak.- Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pelakon Syafiq Kyle, mengaku beliau pernah berasa tertekan dan sedih tatkala dirinya hebat dilanda kontroversi, kira-kira dua tahun lalu.

Ketika itu, tiga tahun selepas bergelar anak seni, namanya menjadi hangat seketika apabila muncul cerita dirinya bercinta dengan seorang pelakon wanita sensasi.

Rentetan ‘percintaan’ berkenaan, timbul pula beberapa gosip lain termasuklah dirinya dikatakan memukul aktres terbabit. Namun khabar angin itu dinafikan sendiri oleh si gadis.

“Tipu kalau saya katakan tidak sedih dan tertekan dengan segala kontroversi yang melanda. Saya juga adalah manusia biasa. Begitupun, saya mengambil semua itu sebagai pelajaran berharga.

“Apabila terkesan dengan segala tohmahan, umpatan dan hukuman dijatuhkan orang lain, saya cuba menyerap semuanya itu untuk menjadi insan yang lebih kuat di dalam.

“Saya cuba belajar untuk mengawal situasi yang melanda. Bagi saya, saat itu, apa yang orang lain kata dan fikirkan tidak lagi penting. Sebaliknya, apa yang lebih utama adalah untuk saya menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” kata Syafiq, 25, yang terkenal dengan drama Tanah Kubur.

Kata Syafiq lagi, apa yang terjadi juga menjadi pengalaman cukup berharga buat dirinya.

“Saya akui, ada juga perkara yang terjadi kerana kesilapan diri sendiri. Waktu itu, saya tidak tahu apa-apa dan saya juga tak tahu bagaimana hendak mengawal atau mengatasinya.

“Namun, seiring perubahan masa, saya banyak bertemu dengan mereka yang terlebih dulu makan garam dalam industri hiburan, termasuk pengarah, penerbit dan wartawan. Dari situ saya mula belajar untuk berubah dan merekalah yang menjadi cermin untuk saya memperbetulkan kesilapan,” katanya.

Finalis Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini turut meluahkan kesyukuran kerana peminat hari ini bersikap lebih terbuka.

“Masyarakat dan peminat sekarang lebih terbuka. Kalau 10 tahun dulu, pelakon yang berkahwin mungkin tiada ruang untuk jadi terkenal. Namun hari ini, mereka melihat bakat mengatasi segala-galanya, termasuk hal peribadi.

“Justeru, saya sendiri tentunya lega dengan situasi yang dilihat amat positif ini. Terima kasih kerana menerima saya kembali. Janganlah menghukum saya hanya kerana kisah lalu,” katanya.

Syafiq turut berasakan pencalonannya ke peringkat akhir kategori Pelakon TV Popular, ABPBH 3.0, baru-baru ini, berikutan peminat mula menyedari beliau juga memiliki bakat seni dan bukanlah bersandarkan cerita sensasi semata-mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here