Syakilla kekal pembawa bendera

0
343
Advertisement



ATLET karate, Syakilla Salni Jefry Krishnan sehingga kini kekal sebagai pembawa bendera kontinjen negara ke Sukan Asia Jakarta – Palembang 2018 bulan depan biarpun dikatakan dihantui masalah disiplin.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata bekas pemegang ranking pertama dunia dan juara bertahan Sukan Asia itu akan terus diberikan kepercayaan selagi tersenarai.

Katanya, sehingga kini pihaknya masih menunggu tindakan bakal dikenakan oleh Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) terhadap Syakilla yang dikatakan sedang bergelut dengan masalah displin sekarang.

“Saya tidak tahu status Syakilla sekarang. Kalau beliau digugurkan daripada menyertai Sukan Asia 2018 bermakna kita perlu mencari penggantinya selaku pembawa bendera baharu untuk kontinjen Malaysia nanti.

“Bagaimanapun, kita tiada masalah mencari pengganti Syakila andai kata menggugurkan atlet kelahiran Selangor itu daripada mewakili Malaysia ke Sukan Asia kerana sudah mempunyai calon simpanan untuk menggantikan tempatnya,” katanya selepas mengadakan pertemuan secara berasingan dengan atlet dan pengurusan persatuan thriathlon, tinju dan skateboarding di Wisma OCM di sini, sebentar tadi.

Mengenai isu doping, Abdul Azim berkata pihaknya akan mengenakan hukuman lebih berat kepada mana-mana atlet Malaysia yang didapati `kantoi’ menggunakan bahan terlarang di Sukan Asia nanti.

Katanya, tindakan itu perlu bagi memastikan kontinjen Malaysia bebas masalah doping di Sukan Asia 2018.

“Justeru, kita dan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sudah meningkatkan kekerapan ujian saringan doping secara rambang bagi memastikan tiada lagi kes atlet kebangsaan terbabit menggunakan bahan terlarang dan dadah secara haram di Sukan Asia bulan depan.

“Malah, semua atlet kebangsaan wajib menjalani ujian saringan doping selewat-lewatnya dua minggu sebelum berangkat ke Jakarta atau Palembang dan jika didapati positif bahan terlarang maka mereka akan digugurkan serta merta.

“Tiada lagi kompromi atau perbicaraan. Dia positif saja ujian doping automatik akan digugurkan dari kontinjen Malaysia,” katanya.

Abdul Azim berkata pihaknya juga akan menggugurkan nama mana-mana atlet yang enggan menjalani ujian doping sebelum mereka berlepas.

“Kita juga mewajibkan semua atlet kebangsaan mengisytiharkan ubat-ubatan dan produk makanan tambahan diambil, sejak enam bulan lalu bagi mengesan mereka yang menyalahgunakan dadah dan bahan terlarang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here