Syarat wajib termaktub

0
7



Kuala Nerang: Kementerian Pendidikan menegaskan syarat lulus Bahasa Melayu (BM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang meletakkannya sebagai bahasa rasmi negara merangkumi pelbagai kaum dan semua bidang di negara ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam peperiksaan SPM juga menetapkan dua subjek iaitu BM dan Sejarah wajib lulus.

Menurutnya, syarat BM wajib lulus itu cukup meletakkan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara.

“Jika pelajar tidak lulus subjek BM maka tidak lulus peperiksaan SPM.

“Malah, tiada alasan rakyat Malaysia tidak boleh bertutur dalam BM,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Program Pelancaran Program Menarik di Padang Terap #Agropertanian, di Dataran Tepi Sungai Padang Terap, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kelonggaran syarat kelayakan lulus BM untuk pelantikan doktor lantikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara kontrak.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan negeri Datuk Suraya Yaacob dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi, Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia negeri Datuk Norsabrina.

JPA pada 23 Februari lalu memberi persetujuan terhadap kelonggaran syarat kelayakan lulus BM untuk pelantikan secara kontrak bagi jawatan berkenaan.

Langkah itu bagi membolehkan graduan yang berkelayakan menjalani latihan siswazah selama dua tahun serta khidmat wajib selama dua tahun.

Keputusan itu mendapatkan reaksi kurang menyenangkan apabila BM bukan lagi menjadi keutamaan kepada graduan perubatan.

Mengulas berkaitan program Menarik di Padang Terap #Agropertaniani, Mahdzir berkata, secara rasionalnya pelancarannya akan memberi impak positif kepada penduduk khususnya kerana memberi pendapatan tambahan dengan kemasukan pelancong dari luar.

“Sebanyak 23 tempat menarik boleh dilawati di daerah Padang Terap seperti Semeliang Agro Farm, House Bot, Ternakan Ayam Kampung dan banyak lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here