Syarikat Malaysia perlu terus teroka potensi di Filipina

0
139
Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia perlu terus meneroka usaha sama di Filipina, terutama dalam sektor seperti bahan binaan, perabut dan minyak sawit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pasaran Filipina sangat reseptif terhadap barangan dan perkhidmatan Malaysia, dan hubungan dagangan dua hala antara kedua-dua negara berkembang 26 peratus kepada US$5.9 bilion pada 2017.

Sambil menekankan perlunya momentum pertumbuhan perdagangan ini dikekalkan, beliau berkata pentadbiran Filipina kini memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur sebagai pemangkin untuk pertumbuhan ekonomi seterusnya.

“Ia sudah membentangkan progam pembangunan infrastruktur enam tahun ‘Bina, Bina, Bina’ bernilai US$180 bilion yang dijangkakan mengubah landskap,katanya sempena Program Promosi Malaysia (MPP) di Manila.

Mustapa berkata syarikat Malaysia mempunyai kehadiran kukuh di Filipina, termasuk Maybank, Alloy-MTD, Metro Parking, dan Zico Law, manakala syarikat Filipina seperti Petron berkembang maju di Malaysia.

“Susulan kemasukannya ke Malaysia pada 2011, Petron melabur US$1.5 bilion dan kini mengurus 600 stesen petrol, meraih keuntungan bersih kira-kira US$100 juta pada 2017 — angka tertinggi sejak Petron memulakan operasi di pasaran Malaysia,” katanya.

Anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, MPP, yang berakhir pada 18 Mac, menarik 200 perwakilan dalam kalangan komuniti perniagaan Filipina dan 30 syarikat Malaysia.

“Filipina kekal sebagai rakan ekonomi yang penting bagi kita, dan usaha sama yang lebih kukuh akan meningkatkan penyepaduan ekonomi ASEAN, selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang saksama di rantau ini.

“Pertumbuhan ekonomi yang kukuh di ASEAN akan memberi manfaat kepada Malaysia, memandangkan 29 peratus eksport negara membabitkan rantau ini,” kata Mustapa.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here