Syarikat tempatan perlu berani teroka pasaran luar negara – Chua

0
54
Advertisement

MELAKA: Syarikat tempatan tidak seharusnya terlalu selesa dengan pasaran domestik sebaliknya perlu berani meneroka pasaran luar negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua (MITI) Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata pengusaha syarikat perlu bersikap proaktif bagi meningkatkan eksport negara serta berani melangkah ke hadapan dengan mengambil kira kehendak dan permintaan pasaran tempatan atau antarabangsa bagi memastikan kepesatan ekonomi.

“Dari segi pasaran jika pengusaha syarikat hanya bergantung kepada pasaran domestik, negara kita hanya mempunyai penduduk seramai 30 juta sahaja.

“Justeru, mereka perlu mengambil peluang termasuk mendaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membolehkan bantuan dan sokongan disalurkan kepada mereka terutama untuk meneroka pasaran luar negara,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Isnin.

Terdahulu, beliau merasmikan program ‘engagement’ bersama pelanggan pusat wilayah selatan SME Bank yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi, Perbankan SME Bank, Datuk Kamaluddin Ismail.

Pada majlis itu, SME Bank menyerahkan surat kelulusan pembiayaan bernilai RM13.63 juta kepada enam syarikat dalam pelbagai sektor termasuk kejuruteraan, pembinaan, minyak dan gas serta perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Chua berkata kerajaan menawarkan pelbagai insentif termasuk pelan pembangunan pemasaran dan e-listing dalam usaha membantu golongan usahawan dan pengusaha syarikat meningkatkan eksport negara.

“Ada orang kata e-listing khusus untuk Alibaba sahaja, ini salah sebenarnya (kerana) dari jumlah 4,400 yang kita bagi insentif hanya 1,400 yang terlibat dalam Alibaba selebihnya website (laman sesawang) berlainan yang memenuhi kriteria Matrade,” katanya.

Sementara itu, Kamaluddin berkata SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah lebih RM28 bilion kepada lebih 16,000 pelanggan sejak penubuhannya pada tahun 2005.

Beliau berkata setakat Januari lepas, pusat wilayah selatan SME Bank telah mencatatkan portfolio pembiayaan bernilai lebih RM744 juta iaitu 11.4 peratus daripada portfolio bank dengan 562 pelanggan.

“Selain itu, kami turut merancang untuk mengadakan program ‘engagement’ di seluruh negara yang mana Melaka merupakan destinasi kelima selepas Selangor, Sabah, Sarawak dan Kedah bagi menangani kesukaran usahawan PKS mendapatkan pembiayaan.

“Seramai 1,947 usahawan menyertai Program Engagement 2017 dengan nilai kelulusan pembiayaan sebanyak RM570 juta dan kami menyasarkan peningkatan sebanyak 30 peratus tahun ini iaitu RM741 juta,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here