Syed Saddiq pertahan AirAsia Saiyan

0
33
Advertisement



KELUHAN wakil Mobile Legends negara untuk bertemu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menyelesaikan isu penarikan diri daripada saingan Piala Asia Tenggara di Jakarta, Indonesia mendapat perhatian segera Menteri Belia dan Sukan itu.

Isu itu mulai tercetus apabila sikap berat sebelah penganjur – RevivalTV – yang menarik semula keputusan hanya beberapa jam selepas mengesahkan wakil Malaysia, AirAsia Saiyan layak ke separuh akhir.

Ia berpunca daripada tindakan wakil tuan rumah, Aerowolf Pro Team mengemukakan bantahan sekali gus menyebabkan mereka yang berang dengan keputusan itu terus menarik diri sebagai tanda protes.

Dalam satu pertemuan yang diatur hari ini, Syed Saddiq meluangkan masa hampir setengah jam bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai insiden berkenaan.

“Saya difahamkan pihak AirAsia Saiyan menerusi Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) mahu mengambil tindakan undang-undang kerana mereka percaya mereka berada dianiaya.

“Keputusan mereka menarik diri dan enggan beraksi dalam perlawanan ulangan bertemu Aerowolf menunjukkan mereka berpendirian teguh walaupun kejohanan ini menawarkan hadiah kemenangan yang lumayan.

“Bagi pihak KBS pula kami akan membantu sebaik mungkin bagi menyelesaikan isu ini melalui ESM,” katanya di Pejabat Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Memburukkan keadaan, AirAsia Saiyan mendakwa penganjur juga mengamalkan sikap pilih kasih apabila memberikan kontrak berbeza kepada wakil tuan rumah berbanding pencabar dari negara lain.

Di dalam kandungan kontrak semua peserta menyatakan jika keputusan terikat bermakna pemenang akan diputuskan menggunakan format KDA (Kill, Death dan Assist) tetapi berbeza dengan tuan rumah yang boleh mengadakan perlawanan semula.

Malah, penganjur turut mengancam akan menyingkirkan AirAsia Saiyan daripada daripada pertandingan itu sekiranya enggan mengikut peraturan ‘baru’ ditetapkan itu.

AirAsia Saiyan menjadi wakil tunggal Malaysia dan terdiri daripada enam anak muda berbakat besar iaitu Ahmad Fuad ‘Fredo’ Razali, Andi Alfian ‘Gripex’ Firman, Herwin ‘Rush’ Baharuddin, Abdul Wandi, ‘Logan’ Abdul Kadir, Sofian ‘Penjahat’ Sultan dan Mohd Faris ‘Soloz’ Zakaria.

Kejohanan Mobile Legends Piala Asia Tenggara yang berlangsung sejak 27 Julai lalu disertai 10 pasukan terbaik dan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM400,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here