Syria tuduh Israel serang Lapangan Terbang Damsyik

0
61


ANGGOTA pertahanan awam mencari mangsa di bawah runtuhan di tapak dilanda serangan udara di barat bandar Idlib, Syria. – Foto REUTERS

DAMSYIK: Syria menuduh Israel melancarkan beberapa peluru berpandu semalam ke arah kedudukan tentera berhampiran Lapangan Terbang Damsyik yang menyebabkan letupan besar.

Tentera Israel kemudian menyatakan ia menembak “satu sasaran” di Bukit Golan walaupun tidak jelas jika dua insiden itu adalah berkaitan.

Israel melancarkan beberapa serangan udara di Syria sejak perang saudara negara itu meletus pada 2011, kebanyakannya menyasar konvoi senjata atau gudang musuh ketatnya Hizbullah, penyokong utama rejim Syria.

Sejajar dengan amalan biasa, tentera Israel enggan mengulas letupan di lapangan terbang itu.

Namun Menteri Perisikan Israel, Yisrael Katz, berkata ia konsisten dengan dasar kerajaan untuk menghalang pemindahan senjata kepada Hizbullah tetapi tidak mengesahkan negaranya bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Agensi berita SANA melaporkan beberapa peluru berpandu Israel mengenai kawasan berhampiran lapangan terbang, menyebabkan kerosakan.

“Satu kedudukan tentera di barat daya Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik disasarkan pada awal pagi ini (Khamis) oleh pencerobohan Israel menggunakan peluru berpandu dilepaskan dari wilayah diduduki, mencetuskan letupan,” menurut SANA memetik sumber tentera. -AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here