'Syurga' ilmu kitab [METROTV]

0
62



Biarpun memiliki ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), ia bukan penamat untuk Zamri Ahmad Borhanudin, 28, mendalami pengajian agama di Madrasah ar-Rahmaniah, Sik, Kedah.

Baginya proses pengajian ilmu agama tiada pengakhiran, malah pondok institusi agama yang mengamalkan pendidikan sepanjang hayat tanpa sebarang had umur.

Sebelum mendiami Madrasah ar-Rahmaniah sejak 2015, anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu pernah belajar di Pondok Pasir Tumboh, Kelantan selama tiga tahun sebelum menyambung pengajian di UNISZA, Terengganu.

“Sebelum ini saya belajar di sekolah agama, jadi minat mendalami bidang agama secara tradisional antara faktor belajar di pondok ini.

“Malah, penumpuan kepada kitab turath dengan amalan zikir serta solat berjemaah antara rutin yang dapat mendidik kita mendekatkan diri dengan agama,” katanya.

Menurutnya, setiap hari mereka akan belajar 12 hingga 13 kitab dalam bentuk halaqah terdiri daripada 15 hingga 20 pelajar.

Katanya, pelajar mengulang kaji bersama pembimbing terdiri daripada pelajar senior selain mengikuti kelas al-Quran.

“Pada waktu petang pula, pelajar bebas beriadah seperti bermain sepak takraw, joging atau keluar ke pekan.

“Berada jauh daripada keluarga banyak mengajar erti berdikari dan apabila berada di pondok ini, kita akan cepat belajar perkara lain seperti memasak, bertukang, ilmu teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan pelbagai lagi kerana pelajar yang mahir bidang itu akan mengajar rakan lain,” katanya.

Zamri berkata, pondok akan terus relevan dan mendapat sambutan masyarakat kerana ia menyediakan sumber ilmu berwibawa berteraskan kitab turath, selain menjadi benteng terakhir Ahli Sunnah Waljamaah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here