Syurga matlamat ibu bapa hantar anak ke tahfiz

0
83



Kisah pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11 yang meninggal dunia selepas dilapor dipukul warden asrama baru-baru, menimbulkan kegemparan dalam masyarakat Malaysia.

Meskipun timbul pelbagai cerita negatif mengenai sekolah tahfiz atau lebih dikenali sebagai sekolah pondok, perkara itu tetap tidak mematahkan semangat ibu bapa menghantar anak mereka ke institusi berkenaan.

Sebaliknya mereka berharap lebih banyak institusi tahfiz diwujudkan di negara ini sama ada dikendalikan pihak kerajaan, swasta atau individu perseorangan.

Pendapat berkenaan turut dikongsi oleh seorang ibu, Shida Salim yang mahukan anak lelaki tunggalnya ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga apabila menghantarnya ke sebuah sekolah tahfiz di Rembau, Negeri Sembilan.

“Tentunya (jaminan ke syurga), semua ibu bapa berkeinginan begitu,” tegasnya yang membuat keputusan itu bukan hanya atas rasa tanggungjawab sebagai ibu bapa, malah perkara itu turut dipersetujui anaknya.

Shida berkata beliau memilih untuk menghantar anaknya ke sekolah tahfiz kerana corak pembelajaran yang berbeza daripada sekolah kebangsaan.

“Dia (anak) tidak perlu diingatkan lagi tentang hal ibadah kerana semuanya sudah dalam tangan. Malah, sekolah tahfiz ini juga mengajar akademik. Peribadi (mereka) juga lebih terbentuk,” kata ibu kepada lima orang anak ini kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Shida berkata, ibu bapa perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum memilih sesebuah sekolah tahfiz dan mempunyai hubungan erat dengan pihak pengurusan sekolah berkenaan.

“Pemilihan sekolah itu penting, malah sekolah yang saya hantar anak saya juga memang melarang keras kes buli. Hubungan kami dengan pihak sekolah juga rapat dan kami ada kumpulan ‘Whatsapp’. Malah, setiap kali kami berjumpa kami akan kongsi cerita tentang masalah anak di sekolah,” kata Shida.

Manakala, bagi Salleh Siden pula, beliau memilih untuk menghantar kesemua anak lelakinya ke sekolah tahfih kerana mahu zuriatnya itu dekat dengan akhirat.

“Sekolah kerajaan sekolah dunia, sekolah tahfiz, sekolah akhirat,” kata Salleh.

Ketika diajukan soalan apakah beliau tidak bimbang dengan laporan akhbar mengenai kes buli di sekolah agama, Salleh menegaskan kesemua itu adalah ketentuan Tuhan.

“Tak adalah (bimbang), itu semua Allah jaga tapi kalau dah nak jadi nak buat macam mana, kita terimalah qada dan qadar Allah.

“Tapi, dalam kes Thaqif ini mungkin dia sendiri sudah ada penyakit lain sebab takkanlah kena rotan jadi sampai macam itu, anak saya pun biasa kena rotan juga tak ada apa pun,” kata Salleh.

Bagi Md Nizam pula, seorang jurukamera, menghantar anak ke sekolah tahfiz adalah pendedahan awal bagi mereka memahami serta mengenali Islam.

“Kita nak memberikan dia pengetahuan untuk memahami serta membaca al-Quran dengan betul selain mengenali Islam dengan lebih tepat.

“Dalam soal keinginan belajar ini semua orang nak anak dia berjaya. Sebagai orang Islam panduan kita adalah Al-quran dan mungkin dari situ generasi akan datang dari dalam keluarga saya dapat dapat membentuk ahli keluarga yang lain ke arah yang lebih baik khusunya ke arah keagamaan,” kata Nizam.

Bagaimanapun, beliau yang menghantar dua anaknya ke sekolah Tahfiz tidak menafikan kepentingan sekolah aliran kebangsaan. Katanya, ia bergantung kepada keputusan ibu bapa dalam menentukan aliran apa yang bersesuai dengan anak mereka.

Ditanya mengenai kebimbangan dalam soal kes buli di sekolah, Nizam berkata ia berlaku di mana-mana dan apa yang membezakan perkara tersebut adalah dari segi laporan media.

“Dalam soal dera, buli atau apa pun ia berlaku dimana-mana. Cuma kadang-kadang tak uar-uarkan kepada media sekali gus menjadi perhatian dan seolah-olah sekolah pondok ini tak ada kualitinya,” tegas Nizam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here