Tak kisah Giroud tak tajam – Deschamps

0
199
Advertisement



OLIVIER Giroud mungkin gagal menyumbat sebarang gol untuk Perancis di Piala Dunia setakat ini tetapi kekuatan fizikalnya akan memastikan tempat buat penyerang Chelsea itu pada pertembungan final menentang Croatia, malam ini. 

Jika difikirkan mengenai jentera serangan Perancis, nama seperti Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann pantas menjadi sebutan tetapi ironinya, Giroud sudah bermain dalam semua perlawanan di Russia, tidak kira selaku pemain simpanan atau dalam kesebelasan utama.

Justeru, ia memberi petunjuk betapa kehadirannya penting bagi merencanakan taktikal jurulatih, Didier Deschamps.

“Dia masih belum menjaringkan gol, tetapi dia penting terhadap permainan kami,” kata Deschamps selepas kemenangan 2-0 ke atas Uruguay di peringkat suku akhir di mana kelibat Giroud jelas mencetus masalah buat pertahanan kental skuad Amerika Selatan itu.

Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Noel Le Graet turut senada dengan Deschamps.

“Sumbangannya cukup besar jadi Mbappe boleh bergerak ke mana-mana bahagian atau mencipta ruang untuk Griezmann,,” kata Le Graet.

“Apabila penyerang utama tidak menjaringkan gol, sentiasa akan ada soalan tetapi untuknya, apa yang dilakukannya sudah melebihi kritikan.”

Giroud juga membandingkan dirinya dengan seorang lagi bekas penyerang Perancis, Stephane Guivarc’h yang turut berada dalam skuad juara 1998 tetapi tidak menjaringkan sebarang gol dalam kejohanan.

“Guivarc’h tidak menjaringkan gol di Piala Dunia 1998, (Christophe) Dugarry hanya menjaringkan satu gol. Jika kami menang dan saya tidak menjaringkan gol, saya langsung tidak kisah, saya akan menjadi juara dunia dan ia sudah cukup membanggakan.

“Asalkan pasukan menang, saya sudah cukup gembira. Saya cuba untuk mencipta laluan dan ruang untuk rakan sepasukan saya.”

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here