Tak mahu artis jadi boneka

0
36



Begitu pantas masa berlalu dan tanpa disedari syarikat pengurusan artis, Laugh Out Loud (LOL) Entertainment Sdn Bhd milik Dafi dan rakan kongsinya, Afeeq Abd Wahab kini sudah tujuh tahun beroperasi sejak ditubuhkan pada 2010.

Sepanjang tempoh itu, mereka pernah bekerjasama menguruskan pelbagai artis antaranya Marsha Milan, Sherry Ibrahim, Bella Dally, Sabhi Saddi, Elfira Loy, Gusti Arya (Indonesia) dan Naimma.

Kini, LOL kukuh dianggotai Jihan Muse, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana, Intan Sarafina, Janna Nick, Fikri Ibrahim dan Dafi sendiri.

Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri, 29, mengakui bersyukur kerana syarikatnya mampu menongkah arus bersaing dengan syarikat pengurusan artis lain dan kekal aktif dalam industri seni tempatan.

“LOL wujud hasil usaha dengan Afeeq yang juga pengurus saya. Kami perlahan-lahan menambah artis dan tenaga pekerja.

“Tak dinafikan dalam tempoh itu, ada artis keluar masuk dan pekerja yang beralih ke syarikat lain, tapi kami tidak simpan dalam hati.

“Saya gembira dengan apa yang dilalui dan percaya LOL akan terus berkembang maju sebagai pemain dalam industri hiburan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah mengehadkan jumlah artis yang akan diambil bernaung di bawah syarikat itu, tetapi sentiasa berhati-hati dengan menilai rekod mereka.

“Ini antara yang perlu dititikberatkan kerana saya mahu pastikan nama LOL dijaga dengan baik. Mana-mana artis yang keluar dan masuk LOL mempunyai rekod yang baik dengan kami.

“Setakat ini belum pernah ada artis yang dah keluar LOL memburukkan nama syarikat dan kami nak kekalkan cara ini,” katanya.

Selain itu, Dafi juga akan memastikan mereka mempunyai tenaga pekerja yang cukup sebelum menimbang mengambil artis baru.

“Saya tak nak ia jadi satu isu besar. Saya sendiri pun artis dan tak nak ia jadi isu pada artis kami yang mengadu diabaikan,” katanya.

Mengulas mengenai isu peribadi artis di bawah LOL, Dafi mengakui mereka bijak menyelesaikan sendiri tanpa campur tangannya.

“Saya tak perlu ambil tahu pun, mereka dah selesaikan sendiri. Kalau ada perbincangan, saya akan nasihatkan juga.

“Saya percaya, jika ada masalah mereka akan selesaikan sendiri. Lagipun, saya tak suka buat artis seperti boneka,” katanya.

Dafi berkata, dia tidak mahu jadi seperti sesetengah syarikat yang menetapkan artis mereka hanya boleh ambil tawaran berlakon serta membawa watak tertentu sahaja.

“Ini boleh menghilangkan nilai artistik artis sendiri. Saya benarkan mereka jadi diri sendiri tapi sudah tentunya dalam kadar yang terkawal.

“Kami ada barisan pegawai perhubungan awam yang boleh kawal artis. Namun, artis diberikan kebebasan sendiri dan setakat ini setiap isu mereka berjaya kendalikan dengan baik,” katanya.

Mengulas perkembangan kariernya, Dafi berkata, ia berjalan dalam situasi sederhana berbanding dahulu.

“Terus terang, nama saya tidak lagi sebesar dulu. Namun, saya amalkan konsep sentiasa ada dalam industri.

“Saya masuk industri atas dasar minat dan bukannya kerana mahu kejar populariti,” katanya.

Dafi berkata, dia kini lebih cenderung mendalami cabang seni yang memberikan kepuasan kepada dirinya seperti berlakon teater.

“Ia bukan medium komersial tapi saya mahukan kepuasan. Satu masa dulu mungkin ada banyak lagi nama besar berbanding saya, tapi di mana mereka sekarang sedangkan saya masih wujud dalam industri seni.

“Saya bukan bercakap besar, malah bersyukur dengan apa yang ada. Saya percaya kerja keras dan pembawaan diri sangat penting dalam industri seni kita,” katanya yang sentiasa merendah diri dengan semua pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here