'Tak mahu dikenali sebagai KRU lagi' – Norman Abdul Halim

0
63
Advertisement

KUALA LUMPUR : Siapa yang tidak kenal kumpulan penyanyi dianggotai oleh tiga beradik yang popular dengan lagu Awas, Ooh! La! La! dan Jangan Lafazkan.

KRU yang telah menampa nama dalam industri hiburan sejak tahun 1992 itu akan dibubarkan secara rasmi selepas Konsert Gergasi KRU 25 yang akan menjadi konsert terakhir mereka.

Menurut Datuk Norman Abdul Halim, pembubaran ini merupakan satu penutup (closure) buat mereka selepas berjaya mengecapi impian selama 25 tahun berada dalam industri muzik tanah air.

“Tiada perbalahan atau salah faham antara kami adik beradik, cuma ini merupakan satu titik noktah buat kami sebagai artis rakaman. Walapun sedih untuk mengumumkan perkara ini, tetapi ini adalah keputusan pasti dari kami adik beradik.

“Kami telah melalui perjalanan yang luar biasa dengan jutaan penjualan album, ratusan lagu serta pelbagai anugerah yang telah berjaya kami kecapi dan ini merupakan penutup bagi kerjaya kami agar kami dapat terus maju pada masa hadapan dengan nama Norman, Yusry, Edry Abdul Halim dan bukan lagi KRU.

“Walau bagaimanapun, kami tetap akan bersatu sebagai rakan perniagaan untuk terus mengukuhkan jenama KRU,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Ternyata, berita ini akan membuatkan peminat kumpulan KRU bersedih, namun ini berita baik untuk anda.

Jangan gusar, kumpulan ini akan beraksi buat kali terakhir pada bulan depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tambah Norman, konsert ini akan mengimbau kembali kenangan peminat mereka yang membesar dengan lagu-lagu KRU pada tahun 90-an.

“Konsert Gergasi KRU25 akan menjadi persembahan terakhir kami, dan kami akan mempersembahkan lagu single terakhir kami berjudul Tahan Lama dan akan berduet bersama Joe Flizzow.

“Pengumuman ini bukanlah satu gimik untuk kami melariskan penjualan tiket, malah tiket kami 80 peratus telah dijual. Apa yang kami janjikan adalah persembahan yang terbaik kepada peminat buat kali terkahir,” ujarnya.

Konsert Gergasi KRU25 akan diadakan selama tiga malam di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 4 Mei.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here