Tak mahu gunting dalam lipatan, Mnangagwa buang habis 'orang Mugabe'

0
60
Advertisement

PRESIDEN baharu Zimbabwe Emmerson Mnangagwa nampaknya tidak mahu pentadbirannya diganggu bayang-bayang bekas ketuanya Robert Mugabe.

Mnangagwa yang kini menerajui parti pemerintah ZANU-PF bertindak memecat 11 anggota parlimen negara itu yang punya hubungan rapat bekas diktator berusia 93 tahun itu.

Kesemua yang dipecat sebelum ini secara terbuka menyokong Mugabe dan isterinya Grace.

Timbalan speaker parlimen, Mabel Chinomonsa memaklumkan ZANU-PF telah memaklumkan kepada parlimen mengenai status 11 orang ahli parlimen berkenaan yang tidak lagi mewakili kepentingan parti itu.

Sebahagian daripadanya merupakan menteri kabinet pada era pentadbiran Mugabe.

Menurut media tempatan, ZANU-PF kini dalam proses penstrukturan semula dengan menyasarkan mereka yang secara terbuka menyokong Mugabe.

Mnangagwa mengambil alih kerusi presiden daripada Mugabe pada November tahun lalu menerusi rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Ini bukan kali pertama Mnangagwa bertindak menyingkirkan orang kuat Mugabe daripada pentadbiran negara itu.

November lalu, lima dipecat termasuk Jonathan Moyo, individu paling lantang yang mahu Grace mengambil alih teraju kepimpinan daripada suaminya.

Beberapa lagi sekutu politik Mugabe ditahan pihak tentera dalam serbuan 15 November tahun lepas, sementara ada yang melarikan diri ke negara lain.

Tindakan drastik Mnangagwaini bagaimanapun dibimbangi bakal mencetuskan gelombang penentangan terhadapnya.

Sekaligus menjejaskan peluangnya untuk mengekalkan jawatannya dalam pilihan raya presiden yang dijangka diadakan dalam tempoh empat atau lima bulan lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here