Tak mengaku culik, perdaya dua budak

0
7



Melaka: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam, atas tuduhan menculik dan memperdaya dua kanak-kanak lelaki, tujuh tahun lalu.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat tertuduh K Bala Subramaniam, 42, berasal dari Batang Melaka, Jasin di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, selepas mengangguk faham atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, Bala Subramaniam didakwa menculik kanak-kanak lelaki ketika itu berusia 12 tahun daripada jagaan bapanya yang sah di sisi undang-undang, sekitar jam 6.30 petang hingga 8 malam, pada 2 September 2010, di sebuah rumah di Taman Seri Hilir, On Lok, Batang Melaka.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya dengan mendorong abang mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun supaya keluar dari rumah di Taman Seri Hilir, On Lok, Batang Melaka, pada waktu, tarikh dan lokasi sama dan pergi ke ladang sawit berdekatan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan, boleh dihukum mengikut Seksyen 363 akta sama memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Sementara itu bagi kesalahan kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 363 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here