Tak pasal-pasal dapat ugutan

0
60



Kuala Lumpur: Seorang lelaki menerima ratusan panggilan telefon cemuhan dan ugutan orang ramai susulan tindakan individu tidak bertanggungjawab menggunakan identitinya yang didakwa cuba melanggar motosikal sebelum ia tular di Facebook sejak kelmarin.

Malah, kediaman mangsa berusia 27 tahun itu di Petaling Jaya turut didatangi individu tidak dikenali yang tidak berpuas hati dan menuduh mangsa terbabit dalam insiden itu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tang berkata, dia menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali Jumaat lalu yang mengaitkannya dengan insiden cuba melanggar sebuah motosikal ketika menggunakan laluan kecemasan di sebuah lebuh raya di pusat bandar.

Katanya, dia hanya mengetahui perkara itu sebaik menerima panggilan terbabit dan menafikan pembabitannya.

“Saya terkejut video yang tular itu memaparkan maklumat peribadi saya termasuk nama penuh, alamat, nombor pendaftaran kereta Perodua Myvi dan nombor telefon.

“Walaupun saya tampil menafikan perkara itu namun pengguna Facebook terus mengecam kerana tidak berpuas hati dengan tindakan itu yang bukan dilakukan saya,” katanya.

Tang berkata, selain komen di Facebook, dia menerima panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang mencemuhnya.

“Saya terima ratusan panggilan telefon dan komen di Facebook yang mengutuk dan memarahi saya. Saya dituduh bertindak kurang ajar cuba melanggar sebuah motosikal di laluan kecemasan seperti ditunjukkan dalam video itu.

“Malah, terdapat beberapa individu menaiki motosikal juga berkumpul di hadapan rumah saya sambil memerhatikan kawasan sekeliling sejak penularan video itu. Sejak itu saya menjadi tidak tenang dan takut untuk keluar rumah kerana bimbang keselamatan diri.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya supaya pihak berkuasa menyiasat individu sebenar yang melakukan kesalahan lalu lintas itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here